RANAU: Pergerakan Wiramuda Star Sabah akan terus lantang menyuarkan isu-isu yang menghimpit kehidupan rakyat negeri ini agar terus mendapat pembelaan sewajarnya.
Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Wiramuda Star Sabah, Kong Soon Choi menyatakan,pihaknya akan bertindak lebih vokal terutama dalam menyuarakan isu-isu yang membelenggu kehidupan rakyat Sabah khasnya yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan bandar, kampung mahupun daerah di Sabah.
“Selepas saya mengetuai pergerakan Wiramuda Star Sabah, kami sepakat bersama barisan pemuda parti ini akan menjadi lantang untuk menyuarakan apa sahaja isu yang merunsingkan rakyat Sabah selama ini. Banyak yang telah lama disuarakan antaranya kerosakan jalan raya, ketiadaan bekalan air dan elektrik, jaringan telekomunikasi dan internet yang lemah dan pelbagai lagi. Ini adalah keperluan utama masyarakat khasnya diluar bandar”.
“Manakala bagi kawasan-kawasan bandar dan pekan, ramai penduduk yang mengeluh dengan isu banjir setiap kali musim tengkujuh. Dan sangat malang, isu ini seperti sukar dicari jalan penyelesaian walaupun ianya kerap berlaku”, tegas Kong.
Dalam pada itu, isu-isu yang membabitkan dasar dan perlembagaan negara seperti tuntutan Hak-Hak Negeri Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 turut menjadi agenda utama pergerakan tersebut.
Katanya, Wiramuda Star Sabah akan terus memainkan peranan penting dalam hal itu untuk menjadi sebahagian daripada pembela sewajarnya sehingga pihak berkenaan benar-benar menjadikan tuntutan berkenaan suatu realiti.
“Kami akan bertindak sebagai ‘Semak dan Imbang’ serta menyokong sepenuhnya perjuangan para pemimpin Parti Star Sabah dalam menuntut hak-hak Negeri Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Ia perlu disuarakan secara lantang”, katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kong diangkat sebagai Ketua Wiramuda Star Sabah pada Rabu selepas menang dalam pemilihan jawatan Sempena Persidangan Tri-Tahunan Parti Star Sabah yang diadakan di Sokid Villa, Kota Kinabalu. Sebelum ini, jawatan tersebut disandang oleh Rizal Johari dan Kong merupakan Timbalannya.