ADVERTISEMENTspot_img

Borak dan Busking PENTARAMA Perkasa Inisiatif 1R1JG

Rubaayah (tengah) bersama-sama Azman (kiri), Jainisah (dua dari kiri) dan Ruddyansjah (kanan) menyampaikan Jalur Gemilang dan bendera kebesaran negeri Sabah kepada peniaga.2

KOTA KINABALU : Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) memperkasa pelaksanaan Inisiatif Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG) melalui program Borak dan Busking PENTARAMA. 


Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JAPEN, Rubaayah Osman berkata penganjuran program berkenaan menjadi platform untuk menggerakkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di peringkat Sabah bersempena sambutan Bulan Kebangsaan. 


“Program ini diadakan bagi memperkasa penyertaan orang awam untuk menyertai inisiatif 1R1JG khususnya dalam kalangan golongan muda.
“Kita berharap seluruh rakyat Sabah bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang bagi memupuk semangat cintakan negara serta menghargai kemerdekaan yang dicapai bersama.


“Di samping menghiburkan, kita turut menyelitkan maklumat berkaitan pencapaian dan usaha kerajaan supaya generasi muda lebih dekat serta memahami pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan,” katanya ketika ditemui media pada program itu di Anjung Selera, Teluk Likas, di sini pada Sabtu.


Pada program tersebut, Rubaayah turut mengagihkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah kepada pemilik gerai serta restoran sekitar kawasan berkenaan.


Program anjuran JAPEN Sabah dengan kerjasama Telekom Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pos Malaysia itu mendapat sambutan kira-kira 500 pengunjung.


Ia turut disiarkan secara langsung menerusi platform TikTok PENTARAMA Sabah, selain menampilkan persembahan busking, kuiz interaktif serta penyampaian maklumat kepada orang ramai.


Antara pengisian program ialah penerangan mengenai tatacara mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah dengan betul serta taklimat kesedaran penggunaan internet secara selamat yang disampaikan oleh Penolong Pengarah, Pejabat MCMC Kota Kinabalu, Wenda Esthell Tisny.


Turut hadir, Pengarah JAPEN Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Labuan, Ruddyansjah Mahtar Hams serta Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan./Penerangan


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN