Pasukan Labuan Youth Dansa johan Pertandingan Tarian Kreatif Borneo Semai Gembala Labuan
LABUAN: Labuan Youth Dansar yang baharu sahaja ditubuhkan berjaya mencuri perhatian para juri apabila dinobatkan johan Pertandingan Tarian Kreatif Borneo Semai Gembala Labuan sempena Program Road to MAHA Labuan 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan baru baru ini.
Pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,500.00 serta tajaan ke Pertandingan Tarian Kreatif Borneo sempena Borneo Arts Festival.
Kemunculan sulung kumpulan tersebut di bawah nanugan Majlis Belia Labuan (MBL) berjaya memukau para penonton dan barisan juri menerusi persembahan yang bertenaga dan kreatif.

Pasukan Labuan Youth Dansa ketika membuat persembahan.
Presiden MBL, Nazera Roslan berkata, kejayaan itu membuktikan bahawa bakat anak muda Labuan mampu menyerlah di pentas seni dan kebudayaan.
Menurut Nazera, dalam persembahan itu, pasukannya
berjaya menyampaikan mesej mengenai kepentingan memelihara dan menghargai seni budaya sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat.
“Kejayaan mereka dalam penampilan pertama di pentas pertandingan diharapkan menjadi pemangkin untuk terus mengembangkan bakat serta mengharumkan nama Labuan dalam bidang seni dan kebudayaan pada masa hadapan”, katanya ketika ditemui media sejurus diumum johan pertandingan tersebut.
Sementara itu, naib johan dimenangi oleh Pasukan Taming Mas UMSKAL.



