ADVERTISEMENTspot_img

Dua persatuan jalin kerjasama dengan Sedcovest perkasa usahawan wanita

Berbincang…Redonah sedang beramah mesra dengan ahli jawatankuasa Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu.

KOTA KINABALU: Dua pertubuhan yang mewakili wanita dan pemeliharaan warisan budaya etnik Tobilung mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda, bagi membincangkan peluang kerjasama dalam memperkasa wanita melalui keusahawanan dan pembangunan kemahiran.

Kunjungan itu melibatkan Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu (Konduan Tobilung) yang diketuai Pengerusinya, Rusiah Salintap, bersama Setiausaha, Christina binti Saidi, serta rombongan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAANS) Langkon yang diketuai Pengetuanya, Timis Sambadi.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya di kawasan luar bandar.

Redonah berkata, Sedcovest komited membantu melahirkan lebih ramai usahawan wanita menerusi pelbagai kursus, latihan kemahiran, bimbingan perniagaan dan program pembangunan kapasiti yang dilaksanakan syarikat.

“Wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi keluarga dan negeri. Justeru, mereka perlu diberi peluang, pendedahan dan latihan yang berterusan agar mampu mengembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau turut menyambut baik cadangan kerjasama bersama Persatuan Wanita Tobilung Kota Marudu dan SAANS Langkon bagi menganjurkan program latihan keusahawanan, pembangunan produk tempatan serta pemeliharaan warisan budaya etnik Tobilung.

Menurutnya, gabungan nilai budaya dan keusahawanan mampu membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat, selain memastikan warisan masyarakat terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Kedua-dua rombongan merakamkan penghargaan kepada Datuk Redonah atas kesediaan menerima kunjungan hormat itu dan berharap jalinan kerjasama tersebut dapat direalisasikan menerusi pelbagai program yang memberi manfaat kepada wanita serta komuniti di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN