ADVERTISEMENTspot_img

UMSKAL, Jabatan Pendidikan WP Labuan Jalin Kerjasama Tingkatkan Kualiti Pendidikan

Yahya ketika menandatangani buku pelawat sambil di perhatikan Prof. Dr, Shamsul (berdiri tiga dari kiri).

LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan terus menjalin kerjasama dalam menjayakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada anak-anak dan komuniti pendidikan.

Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, pihak UMSKAL sentiasa terbuka dan berusaha membantu komuniti setempat selaras dengan slogan untuk merakyatkan universiti.

Katanya, jalinan kerjasama erat bersama agensi kerajaan khususnya Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan mesra Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yahya Ahmad Puteh di Bilik Mesyuarat Eksekutif Aras 13 Bangunan Menara UMSKAL, pada Selasa.

Turut sama pada kunjungan itu Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan, Hajah Noraini Haji Sabudin dan Timbalan Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Imbran Yunus, Penolong Pengarah, Sektor Pembelajaran, Amiah Bua dan Angela Joseph.

Hadir sama, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Sharifah Ismail dan Penyelaras Pusat Penataran Ilmu Dan Bahasa (PPIB), Dr. Siti Halimah Putung.

Sementara itu Yahya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas penerimaan kunjungan berkenaan di samping menghargai komitmen UMSKAL membantu menjayakan program JPN Labuan.

Kunjungan delegasi JPN Labuan membuktikan keserasian kedua-dua pihak yang mahu melihat anak-anak tempatan terus maju ke hadapan sehingga berjaya di peringkat lebih tinggi.

UMSKAL juga bersedia berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman ahli akademik serta pegawai dalam pelbagai bidang yang bersesuaian.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN