TERIMA KASIH…….Kohadie menyampaikan cenderakenangan kepada Jonathan diiringi dua yang lain.
KUNDASANG: Para usahawan terutama sekali golongan belia yang baru memulakan usaha mereka digesa agar cekal dalam menempuhi pelbagai cabaran yang menjadi lumrah dalam dunia perniagaan yang mereka ceburi.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, kecekalan dalam menghadapi apa sahaja kekangan yang dihadapi dengan sikap yang positif akan menjadi penentu kejayaan atau kegagalan yang bakal diperolehi oleh para usahawan.
“Kadang-kala untuk memulakan sesuatu bukannya mudah, malahan proses permulaan biasanya merupakan proses yang paling berat kerana banyak cabaran yang akan dihadapi, termasuk juga keyakinan diri untuk berjaya.
“Ini ditambah lagi dengan cabaran-cabaran luaran yang diberikan oleh mereka yang sentiasa memperhatikan pencapaian kita dari jauh dan ada juga yang suka mengkritik usaha kita.
“Sebenarnya, semua cabaran yang dilalui ini akan membentuk karakter orang yang mahu berjaya dan para usahawan perlu mengambil semua perkataan yang negatif, dan jadikan ia sebagai sesuatu yang positif,” katanya.
Menurut Jonathan, jika seseorang mampu mengambil setiap cabaran dengan sikap yang betul, dia akan berjaya dan sekaligus mampu membuktikan kepada mereka yang mengkritik usaha kita bahawa kejayaan itu mampu menjadi satu realiti.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyarat Agung Tahunan ke-13 Koperasi Homestay Walai Tokou Kundasang Sabah Bhd (KOPSTAY BHD) yang diadakan di Dewan Walai Tokou Kg Sinisian Kundasang.
Dalam majlis itu, Jonathan menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada persatuan golongan belia Kg Sinisian Kundasang dalam membantu mereka dalam menjalankan aktiviti keusahawanan yang dirancang mereka.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada KOPSTAY BHD atas usaha mereka yang kini telah berjaya menjadi salah satu penanda aras kepada kemajuan di daerah Ranau.
Pengerusi KOPSTAY BHD Kohadie Watiman yang juga merupakan Timbalan Presiden Homestay Malaysia berkata, koperasi tersebut ditubuhkan pada tahun 2010 dan telah menempuhi pelbagai cabaran sejak awal penubuhannya, namun kecekalan para ahli dan pimpinan koperasi mampu bertahan hingga ke hari ini.
“Sebelum ini kami menghadapi cabaran dalam menjalankan koperasi kerana kekurangan ilmu dan rujukan. Kami juga mendapat kesukaran untuk mendapatak ahli yang mencukupi.
“Sikap penduduk sekitar yang hanya menunggu dan lihat juga menjadi cabaran bagi koperasi ini, namun semua cabaran ditempuhi dengan sabar dan gigih dan kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjuangan menuju kejayaan,” katanya.
Hasilnya, Kohadie berkata, koperasi tersebut telah berjaya meraih beberapa pencapaian yang dapat dibanggakan oleh semua, yang mana salah satunya ialah ia berjaya menganjurkan Hari Keluarga Kampungstay dan Homestay Malaysia pada tahun 2022.
Selain daripada itu, katanya seramai lima orang anggota koperasi telah berjaya dalam peperiksaan Tahap 2 Pentadbiran Homestay dan Kampungstay yang diadakan pada tahun 2024.
Selari dengan halatuju koperasi iaitu menyediakan pemimpin pelapis untuk kepimpinan akan datang, maka kami juga telah mempersediakan barisan pelapis muda atau belia koperasi ini.