Prof. Dr. Shamsul Bahari (tengah) bersama pelajar SMK Taun Gusi II, Kota Belud yang mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke UMSKAL.
LABUAN:Seramai 36 pelajar SMK Taun Gusi II, Kota Belud mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL, baru baru ini.
Lawatan anjuran Unit Bimbingan Dan Kaunseling dengan kerjasama asrama sekolah disertai 8 guru yang diketuai Penolong Kanan Kokurikulum, Jhonny Balatek.
Jhonny yang mewakili Pengetua SMK Taun Gusi II, Kota Belud Soo Yong Huat berkata lawatan itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar suasana di luar bilik darjah di samping meningkatkan kefahaman ilmu pengetahuan mereka yang berkaitan dengan dunia pendidikan dan kerjaya.
Selain itu, katanya, mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran secara tidak langsung dalam membentuk dan membantu memperkayakan pengetahuan murid.
Pelajar dapat melihat kesan-kesan sejarah untuk mendalami pengetahuan dan menambahkan pengalaman serta didedahkan dengan keindahan dan keistimewaan yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Melahirkan pelajar yang menghargai keamanan dan kemakmuran kepelbagaian budaya, agama dan bangsa,”katanya.
Jhonny berkata, Wilayah Persekutuan Labuan merupakan destinasi yang sesuai untuk melaksanakan program ini kerana Labuan mempunyai pelbagai tarikan budaya, sejarah serta kehidupan alam yang unik.
Beliau yakin ,lawatan sambil belajar ke Labuan ini akan memberi impak yang positif kepada perkembangan pelajar dari segi pengetahuan, kemahiran sosial dan pemupukan nilai-nilai positif.
Terdahulu ketibaan rombongan sekolah disantuni Pengarah UMSKAL, Prof. Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.
Beliau berharap pelajar yang menyertai lawatan itu akan dapat melanjutkan pengajian tinggi mereka di UMSKAL.
“Saya berharap menerusi lawatan itu, pelajar akan lebih bersemangat mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan,”katanya.
Sementara itu, taklimat disampaikan Timbalan Dekan (Akademik Dan Antarabangsa), Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr. Ricky Chia Chee Jiun dan Ketua Program Teknologi Multimedia Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI), Dr. Mohammad Fadhli Asli di Bilik Seminar Kiamsam.
Turut hadir Penolong Pendaftar Kanan, Mas Adi Alimin, dua Penolong Pegawai Tadbir, Mohizam Mohamad dan Dony Lidaus Jinik yang mengendalikan lawatan berkenaan.
Pelajar turut mendapat maklumat di Makmal FKI di Aras 9 dan menikmati pemandangan menarik di Aras 13.
.



