EWON (tengah) mengetuai sidang media Ahli-Ahli Parlimen Sabah
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan mengkaji semula status pembatalan tender projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah supaya projek tersebut diteruskan untuk kesejahteraan rakyat.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick yang mengetuai sidang media Ahli-Ahli Parlimen Sabah tersebut juga mendesak Kerajaan Persekutuan bagi menyalurkan baki peruntukan bagi memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan.
Menurut Ewon, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara sedang mengalami tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan tanah dengan melibatkan jumlah nilai keseluruhan sebanyak RM259.503 juta.
“Apa yang lebih mengejutkan, Wilayah Sabah mencatatkan tunggakan paling parah iaitu sebanyak RM118.84 juta melibatkan 35 projek.
“Sungguhpun Kementerian Kewangan mengumumkan suntikan tambahan, namun ianya masih gagal menutup lompang tunggakan sedia ada yang amat kritikal.
“Kegagalan tersebut memaksa Kerajaan mengambil langkah mudah yang menghukum rakyat luar bandar di seluruh negara melalui dua tindakan drastik iaitu;
(i) Pertama, Pembatalan Proses Tender Berskala Besar melibatkan 40 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.144 bilion. Pembatalan tender ini telah menjejaskan peruntukan sebanyak RM1.716 bilion di Sabah untuk 13 projek JALB Sabah.
(ii) Kedua, Penangguhan Surat Setuju Terima melibatkan 87 projek di seluruh negara dengan nilai peruntukan RM8.096 bilion. Arahan membekukan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) ini memberi kesan kepada 7 projek JALB di Sabah dengan nilai peruntukan sebanyak RM548.85 juta.
“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak dalam Dewan Parlimen agar hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan,” katanya.
Selain Ewon, sidang media tersebut turut disertai oleh Ahli Parlimen Tuaran – Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ahli Parlimen Kudat – Datuk Verdon Bahanda, Ahli Parlimen Kinabatangan – Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar, Ahli Parlimen Beaufort – Datuk Hajah Siti Aminah Aching dan Ahli Parlimen Libaran – Datuk Suhaimi Nasir.



