Yahya menyampaikan cenderahati kepada Datuk Hassan Sani yang menjadi ikon sukan JPWPL.
LABUAN: Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan akan bekerjasama dengan Persatuan Persatuan Sukan yang terdapat di pulau ini sebagai inisiatif Jabatan Pendidikan Labuan meningkatkan pencapaian murid dalam bidang sukan khususnya pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) Yahya Ahmad Puteh berkata anjakan paradigma dan tindakan lebih berkesan perlu dikenal pasti susulan pencapaian kontinjen Labuan yang meraih satu pingat emas dan satu gangsa dalam kejohanan MSSM baru baru ini.
“Kejayaan merangkul emas pertama itu mencatat sejarah tersendiri bagi Wilayah Persekutuan Labuan, sekali gus membuktikan potensi murid untuk bersaing di peringkat kebangsaan boleh dicapai”katanya kepada pemberita pada Majlis Interaksi bersama persatuan sukan di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, kejayaan atlet meraih pingat emas pada kejohanan MSSM 2026 turut menjadi dorongan untuk merangka strategi pembangunan yang lebih berkesan bagi menambah koleksi pingat pada MSSM 2027.
Yahya berkata, program tersebut menjadi platform untuk menghimpunkan pandangan, idea dan strategi bagi memperkasakan potensi murid khususnya dalam sukan teras yang dilaksanakan di sekolah.
“Menerusi sesi interaksi ini, persatuan sukan turut berkongsi cadangan mengenai tindakan yang boleh dilaksanakan bersama pihak pendidikan bagi memperkukuh pembangunan sukan murid secara berterusan.
“ JPNWPL sentiasa menghargai komitmen pengerusi dan wakil persatuan sukan yang menjadi rakan strategik dapat mengubah landskap sukan sekolah serta membuka lebih banyak peluang kepada murid Labuan untuk mencipta kejayaan.
Selain itu katanya, pihak JPNWPL turut berharap sukan Boling Padang dan juga sukan Karate dapat diserapkan sebagai sukan teras yang membolehkan murid dari Labuan mempunyai peluang untuk sama sama bersaing dalam memburu pingat.
Pada majlis tu, legenda bola sepak negara Datuk Hasan Sani turut diundang sebagai ikon sukan untuk menjadi inspirasi kepada murid.



