ADVERTISEMENTspot_img

Cukai operasi di Sabah: Jawapan bertulis Kerajaan belum jawab persoalan Jonathan

Jonathan

RANAU: Persoalan sama ada agensi Kerajaan Persekutuan dan syarikat berkepentingan kerajaan yang beroperasi serta menjana keuntungan di Sabah perlu menyalurkan pembayaran cukai melalui cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negeri ini masih belum terjawab secara khusus dalam jawapan bertulis Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Isu itu dibangkitkan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, yang meminta penjelasan Menteri Kewangan mengenai arahan kepada entiti berkenaan untuk membayar cukai melalui LHDN Sabah, selain implikasi sekiranya amalan itu tidak dilaksanakan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, jawapan bertulis kementerian lebih tertumpu kepada mekanisme pentadbiran dan pengurusan fail cukai pendapatan, termasuk pemusatan fail agensi Persekutuan serta syarikat berkepentingan kerajaan di Cawangan Pembayar Cukai Besar LHDN di Kuala Lumpur.

Menurut kementerian, pengurusan pendaftaran fail cukai, penyerahan penyata dan pembayaran cukai pendapatan dilaksanakan oleh LHDN mengikut prosedur ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagi pembayar cukai individu, pendaftaran fail lazimnya berdasarkan poskod alamat berdaftar, manakala fail cukai syarikat ditentukan berdasarkan poskod ibu pejabat berdaftar.

Bagi agensi Persekutuan dan syarikat berkepentingan kerajaan pula, pengurusan fail cukai pendapatan dipusatkan di Cawangan Pembayar Cukai Besar LHDN di Kuala Lumpur.

Kementerian turut menjelaskan bahawa pembayaran cukai pendapatan boleh dibuat melalui pelbagai saluran yang ditetapkan, termasuk platform elektronik dan ejen kutipan yang dilantik, tanpa terikat kepada negeri tempat operasi perniagaan dijalankan.

“Pembayaran cukai pendapatan direkodkan berdasarkan lokasi fail berdaftar pembayar cukai, dan bukan berdasarkan lokasi di mana aktiviti atau operasi perniagaan dijalankan,” menurut jawapan berkenaan.

Walaupun penjelasan itu memperincikan kaedah pentadbiran percukaian sedia ada, ia tidak menyatakan secara khusus sama ada agensi Persekutuan dan syarikat berkepentingan kerajaan yang beroperasi di Sabah telah diarahkan membayar cukai melalui LHDN Sabah.

Jawapan itu juga tidak menjelaskan secara langsung persoalan berkaitan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang dibangkitkan Jonathan.

Selain itu, tiada angka khusus dikemukakan mengenai jumlah cukai yang dijana daripada operasi entiti berkenaan di Sabah, termasuk sama ada hasil tersebut dikenal pasti secara berasingan bagi menilai kedudukannya dalam konteks hak kewangan perlembagaan negeri.

Kementerian menjelaskan bahawa pemusatan pengurusan fail cukai bertujuan memastikan pentadbiran pembayar cukai dilaksanakan secara cekap dan sistematik serta kutipan cukai pendapatan berjalan dengan berkesan mengikut perundangan sedia ada.

Bagaimanapun, persoalan mengenai hubungan antara lokasi aktiviti ekonomi dijalankan dengan kaedah hasil cukai direkodkan secara pentadbiran kekal relevan dalam perbincangan mengenai hak kewangan Sabah di bawah MA63.

Penjelasan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan diperlukan bagi memperincikan sama ada pendapatan dan keuntungan yang dijana melalui operasi di Sabah dikenal pasti secara berasingan, serta bagaimana perkara itu diambil kira dalam konteks hak hasil perlembagaan negeri.

Penjelasan tersebut penting bagi memastikan persoalan yang dibangkitkan di Parlimen dapat dijawab secara langsung, sekali gus meningkatkan ketelusan mengenai pengurusan hasil cukai yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi di Sabah.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN