ADVERTISEMENTspot_img

PENAMPILAN ISTIMEWA FAUZIAH GAMBUS DI PESTA AMBUYAT SABAH 2026DI DEWAN PIMPING AHAD INI

FAUZIAH GAMBUS ..akan buat penampilan istimewa Ahad ini di Dewan Sri Wawasan Kg Pimping.

MEMBAKUT: Pesta Ambuyat Sabah 2026 di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping di sini pada 1 Nov ( Ahad) ini akan menampilkan Artis Gambus Terkenal, Fauziah Gambus.

Fauziah anak kelahiran Bongawan di datangkan khas dari Semenanjung tempat artis ini sering membuat persembahan.

Sebagai Persatuan yang turut melahirkan pemanting gambus berbakat melalui pertandingan, Persatuan Masyarakat Brunei Sabah ( PMBS) turut menjemput artis yang sudah mencipta nama di negara ini.

Difahamkan Fauziah juga sering dijemput membuat persembahan gambus di luar negara termasuk Brunei Darussalam dan negara Asean yang lain.

Pesta anjuran bersama Yayasan Dangsanak (YDS) kali ke-5 ini akan diisi dengan pelbagai acara menarik.

Antaranya Pertandingan Idangan Set Ambuyat, Memanting Gambus Solo,Kulintangan Remaja dan Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Anak-Anak Brunei Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM).

Presiden PMBS, Datuk Dr Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan merasmikan Pesta Ambuyat ini pada jam 9 pagi.

Pertandingan Idangan Set Ambuyat yang disertai oleh 18 pasukan dari cawangan-cawangan PMBS seluruh Sabah akan menerima hadiah lumayan.

Pengerusinya Hajah Rugayah Hj Ag Besar berkata juara untuk pertandingan ini akan menerima hadiah lumayan RM1,500, naib johan RM1,000 ,tempat ketiga RM800 dan semua pasukan mengambil bahagian akan menerima sagu hati RM400.

Sementara itu Pengerusi Pertandingan Gambus Solo, Haji Pg Jafar Hj Pg Osman berkata enam peserta layak ke final pertandingan itu yang akan diadili oleh pengadil profesional.

Untuk johan kata Pg Jafar yang juga Naib Presiden 1 PMBS akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, naib johan RM700, tempat ketiga RM500, tempat keempat RM300 dan Kelima dan keenam RM200.

Untuk Pertandingan Mengual Kulintangan Remaja Bawah 16 Tahun pula , kata Pengerusinya, Haji Ampuan Wahab Ampuan Hamzah enam kumpulan juga akan bertanding diperingkat akhir.

Johan juga akan menerima hadiah lumayan iaitu wang tunai RM1,500, Naib Johan RM1,300, Tempat Ketiga RM1,000 dan tiga sagu hati juga akan diberikan.

Seperti tahun lalu PMBS juga menyediakan insentif kepada anak-anak masyarakat Brunei di Sabah yang cemerlang dalam Peperiksaan SPM dan STPM.

Menurut Pengerusi Biro Pendidikan, Prof Dr Hj Rasid Hj Mail seramai 74 pelajar iaitu 30 pelajar SPM dan 44 STPM akan menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

Beliau berkata AJP PMBS memutuskan untuk memberikan insentif RM300 seorang untuk SPM dan RM400 untuk STPM.

Untuk tahun ini sebagai galakkan kepada anak-anak Brunei terus cemerlang dalam pendidikan seorang pelajar yang memperolehi 10A dalam SPM akan menerima RM700 dan yang memperolehi 4.0 dalam Peperiksaan STPM akan menerima RM1000.

Dalam Pesta Ambuyat kali ini lebih 20 gerai juga akan didirikan untuk menjual dan mempamer produk tempatan termasuk 5 gerai produk usahawan dari negara jiran Brunei Darussalam.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan demonstrasi membuat kuih-kuih tradisional masyarakat Brunei antaranya penyaram,kuih cincin,kuih sapit, kakara dan tapai.

Isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Hajah Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag akan menjadi tetamu kehormat pada Pesta Ambuyat ini.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN