Hajiji (tengah) menyempurnakan gimik perasmian.
TUARAN: Golongan belia bukan sekadar pemimpin masa depan, tetapi pemandu ekonomi dan agen perubahan utama bagi menjayakan aspirasi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, komitmen Kerajaan Negeri memperkasa belia akan diteruskan menerusi pelbagai bantuan, dana dan latihan kemahiran agar anak muda bukan sahaja mencari pekerjaan, malah mampu mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain.Â
“Tumpuan strategik turut diberikan bagi memastikan golongan muda dilengkapi kemahiran tinggi, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang memenuhi kehendak industri masa hadapan.
“Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembangunan belia sebagai salah satu keutamaan kerana golongan ini bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi merupakan pemandu ekonomi dan agen perubahan utama yang kita perlukan hari ini untuk menjayakan aspirasi pelan pembangunan SMJ.Â
“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bagi 2026.Â
“Peruntukan ini merangkumi dana pembangunan modal insan, geran persatuan belia, sektor sukan serta usahawan belia menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
“Selain itu, inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) turut diperuntukkan kepada golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 yang berlangsung di Padang Istiadat di sini, pada Khamis.Â
Hajiji berkata, belia adalah aset penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negeri, dengan Sabah mempunyai anak muda yang berbakat, kreatif, berkemahiran dan mempunyai semangat tinggi.
Katanya, dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri perlu diterjemahkan melalui program yang benar-benar menyentuh keperluan golongan belia.
Menyentuh penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran, beliau berkata, program itu membuktikan golongan belia bukan sekadar kumpulan yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan masyarakat dan negeri, malah rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti pada hari ini.
“Tamu bukan sekadar tempat jual beli, sebaliknya sebahagian daripada khazanah kehidupan masyarakat Sabah yang menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat.
“Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, kita dapat mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan yang sihat serta perkongsian ilmu,” ujarnya.
Hajiji berharap karnival itu terus membuka peluang kepada belia memperkenalkan produk tempatan, mengetengahkan bakat seni dan budaya, menyertai pertandingan yang membina keyakinan diri serta menjalin hubungan antara komuniti.
Karnival berkenaan menyasarkan seramai 25,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya yang bermula sejak Rabu.Â
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Edward Linggu, Pengerusi Penganjur Karnival Tamu Belia Tuaran 2026, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji dan Pegawai Daerah, Ibrahim Terki./Penerangan–



