Nik Mohd ketika melawat pameran reruai sempena Program Keusahawanan JHEWANITA.
KENINGAU: Usahawan wanita di Sabah diseru memperkukuh perniagaan melalui pengurusan kewangan, pembinaan kepercayaan pelanggan, penggunaan teknologi digital dan pembelajaran berterusan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi berkata, keusahawanan membuka peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan sendiri, meningkatkan taraf hidup keluarga dan menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negeri.
“Wanita Sabah mempunyai potensi yang wajar terus diberi ruang untuk berkembang.
“Wanita di bandar dan luar bandar perlu mempunyai peluang untuk mendapatkan ilmu, bimbingan serta akses pasaran.
“Dengan sokongan yang sesuai, lebih ramai wanita berpeluang membina perniagaan mengikut kemahiran dan keupayaan mereka.
“Perniagaan yang bermula kecil mempunyai ruang untuk berkembang apabila diurus dengan ilmu dan disiplin.
“Mulakan mengikut kemampuan, kenali keperluan pelanggan dan perbaikilah kelemahan secara berterusan.
“Setiap pengalaman boleh menjadi pelajaran untuk membuat keputusan yang lebih baik,” katanya ketika merasmikan Program Keusahawanan JHEWANITA Tahun 2026 di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan dan komuniti dalam menyediakan latihan praktikal, bimbingan yang mudah diakses serta maklumat berkaitan peluang pasaran dan pembiayaan.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) diharap terus menjadi penghubung yang mendekatkan usahawan wanita dengan peluang dan pihak yang dapat membantu mereka.
Beliau turut menggalakkan peserta melaksanakan sekurang-kurangnya satu penambahbaikan dalam minggu pertama selepas program, seperti memperkemas rekod kewangan atau memperbaiki kaedah promosi.
Antara pengisian program ialah pameran agensi dan usahawan, ceramah berkaitan perundangan dan keselamatan digital perniagaan serta Forum Inspirasi Usahawan yang menampilkan usahawan, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed dan Wanita Ikon Sabah 2026/2027, Noor Farahdilah Najmuddin.
Program itu turut menyaksikan gimik penyerahan bantuan geran peralatan kepada lima wakil usahawan dan disertai seramai 400 usahawan.
Hadir sama ialah Pengarah JHEWA, Haslina Ismail dan Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri./Penerangan–



