BAXTER
KOTA KINABALU: Tindakan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Ewon Benedick, bersama beberapa Ahli Parlimen Sabah mendesak Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan berhubung pembatalan tender projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabah adalah sebahagian daripada tanggungjawab wakil rakyat, bukannya usaha mencari publisiti.
Timbalan Ketua Pemuda UPKO Nasional, Newbaxter Tibin berkata, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang mempunyai tanggungjawab untuk membawa suara rakyat ke Dewan Rakyat, mengemukakan persoalan kepada kementerian berkaitan serta menuntut penyelesaian terhadap isu yang menjejaskan kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata, kritikan terhadap tindakan Ewon bersuara perlu mengambil kira perbezaan antara jawatan beliau dalam Kabinet Negeri Sabah dengan Kabinet Persekutuan.
“Beliau merupakan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri MINDET. Itu jawatan dalam Kerajaan Negeri Sabah, bukannya jawatan dalam Kabinet Persekutuan.
“Justeru, sebelum mempersoalkan kedudukan beliau ketika mesyuarat Kabinet Persekutuan, kita perlu memahami perbezaan bidang kuasa dan tanggungjawab antara kedua-dua kerajaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Newbaxter berkata, pelaksanaan projek JALB berada di bawah tanggungjawab Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), manakala urusan peruntukan serta kelulusan kewangan turut melibatkan Kementerian Kewangan.
Katanya, jawatan Ewon sebagai Menteri MINDET Sabah tidak memberikan beliau kuasa untuk menentukan keputusan atau mengarahkan tindakan kedua-dua kementerian Persekutuan berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa tidak semua urusan berkaitan tender atau arahan pentadbiran perlu dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat Kabinet, sebaliknya kementerian yang mempunyai bidang kuasa perlu memberikan penjelasan mengenai keputusan yang dibuat.
Menurutnya, kedudukan seseorang pemimpin dalam kerajaan tidak bermakna beliau perlu berdiam diri apabila sesuatu keputusan menjejaskan kepentingan rakyat.
“Berada dalam kerajaan bukan bermaksud semua perkara mesti didiamkan. Jika ada keputusan yang menjejaskan keperluan rakyat Sabah, wakil rakyat tetap bertanggungjawab untuk bersuara dan meminta perkara itu diselesaikan,” katanya.
Newbaxter berkata, penduduk luar bandar yang menantikan kemudahan jalan raya juga berhak mengetahui perkembangan projek berkenaan, termasuk sebab pembatalan tender dan bila pelaksanaannya dapat diteruskan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya tidak terlalu cepat melabelkan usaha meminta penjelasan sebagai tindakan mencari publisiti, sebaliknya memberikan tumpuan kepada keperluan mendapatkan penjelasan rasmi, tindakan susulan dan kepastian pelaksanaan projek demi kepentingan rakyat Sabah.



