Kenangan bergambar bersama maskot Big Bad Wolf sempena perasmian Big Bad Wolf Books Kota Kinabalu 2026 di SICC.
KOTA KINABALU: Big Bad Wolf Books kembali ke Kota Kinabalu dengan membawa lebih sejuta buku untuk peminat membaca di Sabah.
Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah, Yee Tsai Yiew, berkata inisiatif itu membantu menjadikan buku lebih mudah diperoleh pada harga berpatutan, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga untuk membudayakan amalan membaca.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan bagi pihak Ketua Menteri pada majlis perasmian Big Bad Wolf Books Kota Kinabalu 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
“Apabila kita menggalakkan anak-anak membaca, kita membantu mereka berfikir, bertanya, berimaginasi dan meneroka pelbagai kemungkinan dalam kehidupan,” katanya.
Menurutnya, buku mampu meninggalkan kesan mendalam dan mengubah cara seseorang melihat dunia.
Justeru, usaha menyokong pendidikan serta pembelajaran sepanjang hayat perlu terus diperkukuh.
Kerajaan Negeri, katanya, mengalu-alukan inisiatif yang menyokong pendidikan dan pembangunan komuniti, selain berharap usaha seumpama itu dapat diperluas ke seluruh Sabah.
Yee Tsai Yiew turut menyambut baik penganjuran jualan buku itu yang berlangsung serentak dengan BIGSABAH Sale 2026, sekali gus dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke Kota Kinabalu dan menyokong ekonomi tempatan.
Big Bad Wolf Books Kota Kinabalu 2026 berlangsung di SICC bermula 30 Oktober hingga 9 November ini.



