Jamawi (duduk, tengah) bergambar kenangan dengan pelatih Sijil Kursus Asas Pertanian Pusat-pusat Latihan Petani, Jabatan Pertanian Sabah.
TENOM: Penglibatan orang muda dalam sektor pertanian perlu diperkukuhkan bagi memastikan usaha meremajakan sektor itu dapat dilaksanakan, khususnya di peringkat akar umbi.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata perkara itu penting memandangkan sebahagian besar petani, penternak dan mereka yang terbabit dalam aktiviti pertanian kini terdiri daripada golongan berusia.
Katanya, golongan muda perlu dilengkapi ilmu dan kemahiran supaya mampu menjadi tenaga penggerak serta melancarkan aktiviti pertanian di lapangan.
“Dengan adanya kursus seperti ini, kita dapat menambah ilmu golongan muda dalam bidang pertanian sekali gus melancarkan aktiviti pertanian di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Pertanian Pusat-pusat Latihan Petani Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Serbaguna, Taman Pertanian Sabah, di sini, hari ini.
Seramai 70 pelatih berjaya menamatkan kursus asas pertanian selama enam bulan di pusat latihan Jabatan Pertanian Sabah di Lagut, Soberang Canem, Kota Marudu dan Ulu Dusun, Sandakan.
Jamawi berkata Jabatan Pertanian Sabah akan terus membimbing bekas pelatih berkenaan serta menyalurkan bantuan yang diperlukan bagi membantu mereka mengembangkan potensi dalam sektor pertanian.
Katanya, usaha itu bukan sahaja bertujuan membantu mereka mendapatkan pekerjaan, malah menggalakkan lebih ramai menceburi bidang keusahawanan tani.
“Kita akan terus membimbing dan membantu mereka supaya turut berjaya seperti usahawan lain yang sudah lama berkecimpung dalam sektor pertanian,” katanya.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada pelatih terbaik bagi tiga kategori iaitu Modul Tanaman Jagung, Modul Tanaman Sayur-sayuran serta Pelatih Terbaik Keseluruhan bagi kategori lelaki dan perempuan.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap I (Pembangunan) Awang Dzulkernain
Awang Hassan; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Pengembangan dan Pembangunan Industri Tanaman; Suraya Jubahar; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Zarinah Hj. Ali; Timbalan Pengarah Pertanian, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Alinah Abdul Rahman serta Penolong Pengarah Seksyen Perancangan dan Pengurusan Daerah selaku Pengerusi Penganjur, Nurul Syierah Tasim.



