26 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

UMNO Labuan perlu proaktif gerakan jentera hadapi PRU 15

SERAH…. Dasuki menyerahkan borang keahlian parti UMNO  kepada Haryadi (sebelah kanan) sambil disaksikan Bashir (berdiri tengah)


LABUAN: UMNO Bahagian Labuan perlu lebih proaktif untuk mengerakkan jentera parti sebagai persediaan dalam menghadapi  pelbagai cabaran termasuk PRU 15.


Ketua UMNO Bahagian Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata, pemimpin dan ahli ahli parti di semua peringkat termasuk sayap juga   perlu mempertingkatkan usaha untuk  meraih keyakinan rakyat  terhadap parti.


“Ahli ahli UMNO di semua peringkat perlu memainkan peranan yang lebih proaktif bukan sahaja sebagai persediaan menghadapi PRU 15 yang dijangka  akan diadakan pada bila-bila masa tetapi yang lebih penting dapat meyakinkan rakyat untuk menyokong UMNO” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ringkas menerima kemasukan semula  bekas ahli ahli Parti Amanah Cawangan Kampung Pohon Batu ke dalam UMNO  di sini, malam kelmarin.


Bashir yang juga Ahli Dewan Negara, berkata UMNO Labuan sentiasa terbuka untuk menerima siapa sahaja termasuk mereka yang sebelum ini  telah meninggalkan UMNO.


“Bagaimanapun mereka yang ingin kembali bersama UMNO  perlulah mengikut proses yang ditetapkan seperti  mendapat persetujuan daripada Ketua-Ketua Cawangan sebelum di terima menjadi ahli” katanya.


Pada majlis itu, bekas Ketua Cawangan parti Amanah Kampung Pohon Batu, Dasuki Haji Zainal bersama kira-kira 25 ahlinya menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula parti UMNO yang mereka tinggalkan sebelum ini.


Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian, Sahri Tarji, Ketua Ketua Wanita UMNO Bahagian, Niswati Tarji Ketua Cawangan UMNO Pohon Batu Haryadi Omar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Musa Basman dan Naib Ketua Puteri, Normiyati Jumat.


Turut hadir Ketua Penerangan Muafakat Nasional Bahagian Labuan, Sahari Amdan.
-JDj

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN