Alijus (empat dari kanan) dan Hafizal (empat dari kiri) bersama wakil dari SAFA dan Emas Sri Semantan semasa majlis memeterai MoU di Kota Kinabalu petang tadi.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) penajaan RM4 juta bersama Emas Sri Semantan Sdn Bhd kukuhkan langkah Sabah FC menghadapi cabaran Liga Malaysia musim 2026/2027.
Pengarah Sabah FC, Datuk TPr Alijus Sipil berkata, tajaan itu adalah dalam bentuk kewangan sepenuhnya dan ia merupakan salah satu langkah kelab meluaskan rangkaian rakan strategik korporat menjelang musim baharu.
“Dana itu akan digunakan untuk menampung keperluan operasi pasukan sepanjang musim termasuk penambahbaikan fasiliti berkaitan pemulihan pemain dan peningkatan prestasi,” kata Alijus pada majlis memeterai MoU berkenaan di salah sebuah hotel di sini petang tadi.
Alijus berkata, kehadiran Emas Sri Semantan bukan sahaja memberi suntikan kewangan, malah membantu meluaskan jangkauan dan imej pasukan.
“Seperti kelab-kelab lain di negara ini dan antarabangsa, sokongan sektor swasta sangat penting untuk kelangsungan sesebuah kelab. Bagi Sabah FC, kerjasama ini akan membantu keperluan operasi musim 2026/2027 selain menyokong perancangan jangka panjang,” katanya.
Beliau mengalu-alukan lebih banyak penglibatan sektor korporat dan Sabah FC masih terbuka untuk membincangkan peluang penajaan lain.
Sementara itu, Pengerusi Emas Sri Semantan, Hafizal Mahmood berkata, syarikatnya memilih bekerjasama dengan Sabah FC kerana kedudukan bola sepak yang dekat di hati rakyat Sabah.
“Bola sepak mempunyai pengaruh besar. Kami melihat kerjasama ini sebagai platform baik untuk mendekati masyarakat dengan lebih luas, di samping memperkukuh jenama kami di negeri ini,” katanya.
Emas Sri Semantan kini mempunyai tiga cawangan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
Satu lagi cawangan di Tawau akan dibuka tidak lama lagi dan syarikat itu turut merancang membuka kilang pemprosesan emas di Sabah.
Sambil itu katanya, kerjasama itu bukan hanya dengan skuad utama tetapi akan turut melibatkan program pembangunan bola sepak dan komuniti.
Antara inisiatif yang dirancang adalah siri jelajah bersama pemain Sabah FC ke beberapa daerah, klinik Bolasepak untuk mencungkil bakat baharu dan penjagaan Liga Daerah.
Beliau berharap kerjasama ini dapat diteruskan dalam jangka masa panjang selari dengan pengembangan operasi Emas Sri Semantan di Sabah.
Hafizal juga berharap Sabah FC mampu meneruskan momentum positif dengan sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA musim lalu, selain mampu mencabar tempat ke final Piala Malaysia dan berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super musim 2026/2027.
Musim baru Liga Malaysia dijadualkan bermula bulan depan.
Turut bersama di majlis itu ialah Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang, barisan pengurusan Sabah FC serta Ahli Lembaga Pengarah Emas Sri Semantan, Shaaini Md Jumaat dan Mohd Sharif Saman.



