AMALI ..Ustaz Mohd Jalin memberikan penerangan cara pengkafankan jenazah kepada peserta.
BEAUFORT: Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) Cawangan Kampung Berumbai berjaya mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah di Surau kampung itu baru-baru ini.
Pengerusinya, Awangku Abdullah Saibi Pg Basunih berkata seramai 75 orang peserta terdiri dari penduduk dari Kg Berumbai, Bangkalalalak dan Kangsa menghadiri program sehari itu.
Beliau berkata kursus fardu kifayah ini dianjurkan oleh PMBS Cawangan Kg Berumbai untuk memberikan pendedahan kalangan ahli persatuan dan penduduk kampung tentang pengurusan jenazah.
Menurutnya dua orang penceramah iaitu Ustaz Hj Mohd Jalin Saramalih dan Ustazah Zaiton Pokni telah memberikan ceramah dibahagikan kepada dua iaitu untuk muslimin dan muslimah.
“Selepas ceramah cara-cara menguruskan jenazah semua peserta juga ditunjukkan secara amali untuk mengkafankan jenazah selepas di mandi dan sebelum disembahyangkan,” katanya.
Kursus yang dirasmikan oleh Pengerusi Biro Agama yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat ( AJP), Haji Ampuan Wahab Hj Ampuan Hamzah ini turut dihadiri oleh Naib Presiden 1 PMBS, Hj Pg Jafar Pg Othman.
Turut hadir, imam-imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung.



