Dr. Francis menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Ruddyansjah Matahari Hans pada majlis tersebut.
LABUAN: Jabatan Kediaman Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JKNWPL) terus memperkukuhkan kerjasama terhadap semua agensi sebagai usaha memperluaskan pembudayaan gaya hidup sihat dikalangan masyarakat di Pulau ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Labuan, Dr. Francis Paul berkata, sebanyak 42 agensi kerajaan dan bukan kerajaan telah memberikan sokongan aktif dalam menjayakan pelbagai program berkaitan kesejahteraan kesihatan sepanjang tahun ini.
Menurutnya, kerjasama merangkumi pelbagai inisiatif termasuk pendidikan kesihatan, saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit, aktiviti fizikal dan program turun padang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Labuan 2026.
Tambahnya, antara inisiatif yang turut mendapat sokongan 11 agensi kerajaan ialah program I-PASS atau Inisiatif Penjawat Awam Sihat Sejahtera yang bertujuan membudayakan gaya hidup sihat, meningkatkan kecergasan fizikal serta perkukuh kesejahteraan mental dalam kalangan penjawat awam.
Lebih 140 wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan media hadir.
Sementara itu beliau berkata, Majlis Apresiasi Rakan Strategik dan Media yang dianjurkan bertujuan untuk menzahirkan tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan, komitmen serta kerjasama erat rakan strategik, rakan media, pemimpin komuniti dan persatuan yang selama ini bersama sama menyokong aktiviti yang dilaksanakan oleh JKNWPL.
Dalam waktu yang sama katanya, majlis tersebut dapat meningkatkan dan menyemarakkan semangat kerjasama dan memperkukuh jaringan strategik antara Jabatan Kesihatan WP Labuan dengan semua pihak berkepentingan dalam merealisasikan agenda kesihatan negara.



