ADVERTISEMENTspot_img

UMS perkukuh kerjasama penyelidikan antarabangsa menerusi penganjuran AMICT DAN IPoSCI 2026

Prof. Dr. Shamsul bersama peserta persidangan AMICT dan IPoSCI 2026.

Labuan, 12 November – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranan sebagai pemangkin inovasi dan penyelidikan menerusi penganjuran dua persidangan akademik antarabangsa yang menghimpunkan penyelidik, ahli akademik serta pemain industri dalam bidang pengkomputeran dan informatik.

Penganjuran The 3rd International Conference on Advances in Machine Intelligence and Cybersecurity Technologies (AMICT) 2026 dan The 1st International Postgraduate Symposium on Computing and Informatics (IPoSCI) 2026 bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu, malah memperluas jaringan kerjasama strategik antara institusi akademik dengan industri.

Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Profesor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin berkata, kedua dua persidangan yang dianjurkan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan, keselamatan siber dan teknologi baharu.

“Selain itu persidangan ini turut mengetengahkan potensi teknologi digital dalam menyokong pembangunan lestari di Sabah dan Labuan. Ini termasuk bidang akuakultur pintar, pemantauan marin, pengesanan alam sekitar serta pengurusan sumber berasaskan data”, katanya ketika berucap merasmikan persidangan tersebut mewakili Naib Canselor UMS di salah sebuah hotel di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, persidangan AMICT 2026 menerima 224 penyerahan kertas kerja, dengan 68 kertas diterima dan didaftarkan untuk pembentangan.

Manakala IPoSCI 2026 yang julung kali dianjurkan menampilkan 18 kertas penyelidikan oleh pelajar pascasiswazah.

Pada majlis itu turut diadakan pemeteraian Surat Niat (LOI) antara UMS dengan empat rakan industri bagi memperkukuh kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, inovasi teknologi, latihan profesional serta pembangunan pelajar.

Empat rakan industri itu membabitkan StratAgile Borneo Sdn. Bhd, Live Laugh Love (LLL) Inc., Exa byte Network Sdn. Bhd. dan Tiger Oil field Service Sdn. Bhd.

Beliau berharap kerjasama itu dapat memperluas pemindahan ilmu dan teknologi, sekali gus menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada industri dan komuniti.

Hadir sama, Pengerusi AMICT 2026 merangkap Dekan Fakulti komputeran dan Informatik (FKI) Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Pengerusi MaDICT Profesor Dr. Osman Ghazali, Pengarah Urusan LLC Incoporate Yoshiyuki Nagano dan Pengerusi Bersama AMICT 2026 Profesor Madya Ts. Dr. Chin Kim On.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN