ADVERTISEMENTspot_img

Jonathan beri penghargaan kepada warga emas atas sumbangan mereka kepada Ranau

Jonathan dan lain-lain bersama golongan warga emas yang diraihkan dalam majlis itu

RANAU: Kira-kira 100 warga emas diraikan dalam Majlis Pemimpin Bersama Ahli Warga Emas Daerah Ranau yang menjadi platform menghargai jasa dan sumbangan generasi terdahulu terhadap pembangunan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

Majlis itu dirasmikan Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin yang turut meluangkan masa bersama ahli Persatuan Warga Emas Ranau serta pemimpin masyarakat dalam program berkenaan.

Dalam ucapannya, Jonathan menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kerana berpeluang bertemu serta meraikan golongan warga emas yang disifatkannya sebagai insan banyak berjasa kepada daerah Ranau.

Beliau berkata, sumbangan golongan berkenaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, memainkan peranan penting dalam membentuk kehidupan masyarakat dan pembangunan daerah itu sehingga ke hari ini.

Katanya, segala jasa, pengorbanan dan pengalaman generasi terdahulu wajar dikenang serta dihargai, khususnya dalam memastikan kesinambungan pembangunan masyarakat dan nilai kekeluargaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua warga emas atas segala bakti yang dicurahkan kepada keluarga dan masyarakat sepanjang kehidupan mereka.

Pada masa sama, Jonathan berharap golongan berkenaan terus menikmati kehidupan yang ceria, dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa berbahagia bersama keluarga tersayang.

Katanya, peluang untuk terus meluangkan masa bersama anak-anak, cucu, cicit dan piut merupakan antara nikmat kehidupan yang amat bermakna bagi golongan warga emas.

Majlis berkenaan turut menjadi wadah mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, selain memberi ruang kepada warga emas berkumpul serta berkongsi pengalaman dalam suasana kekeluargaan.

Turut hadir pegawai dan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau serta pemimpin masyarakat setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN