Madius
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran merangkap ADUN Tamparuli, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menggesa kerajaan mempercepatkan transformasi sistem bekalan air Sabah bagi menangani gangguan bekalan yang berulang, khususnya di kawasan Tuaran, Tamparuli dan beberapa lokasi di Kota Kinabalu.
Beliau berkata gangguan bekalan air yang berlaku susulan penutupan sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Telibong I, LRA Pekan Tuaran dan LRA Kampung Bawang akibat peningkatan kadar kekeruhan (NTU) air sungai sekali lagi memberi kesan kepada puluhan ribu pengguna di kawasan terlibat.
Menurutnya, walaupun fenomena hujan lebat dan peningkatan kadar kekeruhan sungai merupakan faktor semula jadi yang sukar dielakkan, sistem bekalan air yang moden dan berdaya tahan seharusnya mampu mengurangkan impak terhadap pengguna.
“Jika setiap kali hujan lebat loji rawatan air terpaksa dihentikan dan rakyat kehilangan bekalan air, jelas sudah tiba masanya sistem bekalan air Sabah ditransformasikan supaya lebih moden, tahan lasak serta bersedia menghadapi perubahan iklim yang semakin ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Madius berkata beliau bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi penduduk terjejas, termasuk keluarga, warga emas, peniaga kecil, institusi pendidikan serta premis kesihatan yang bergantung kepada bekalan air bersih untuk menjalankan aktiviti harian.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kakitangan Jabatan Air Sabah yang bertugas siang dan malam bagi memulihkan operasi loji serta mengembalikan bekalan air kepada pengguna secepat mungkin.
Beliau berkata rakyat juga berhak mengetahui sehingga bila gangguan bekalan air akibat faktor sama akan terus berulang dan berharap langkah penyelesaian lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelaburan yang lebih agresif dilaksanakan bagi menaik taraf loji-loji rawatan air, memperkukuh perlindungan kawasan tadahan air, meningkatkan teknologi rawatan air untuk menangani kadar kekeruhan yang tinggi, mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) serta memastikan kapasiti bekalan mempunyai margin simpanan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan masa depan.
“Air bersih bukan sekadar kemudahan awam, sebaliknya merupakan keperluan asas kehidupan. Justeru, isu bekalan air perlu diberi keutamaan yang setanding dengan kepentingannya terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi Sabah,” katanya.
Beliau berkata sebagai Ahli Parlimen Tuaran dan ADUN Tamparuli, beliau akan terus memantau usaha pemulihan bekalan air serta membawa isu berkenaan kepada perhatian Kerajaan Negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan langkah penyelesaian jangka pendek dan pelan jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa pengguna di kawasan terjejas supaya menggunakan bekalan air secara berhemat sepanjang tempoh pemulihan bekalan.
Madius berkata rakyat Sabah hanya mengharapkan sistem perkhidmatan bekalan air yang cekap, berdaya tahan dan mampu menyediakan bekalan air bersih secara berterusan tanpa gangguan yang berulang.



