KOTA KINABALU: Jawatankuasa Penganjur Himpunan Suara Sabah menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menilai semula pelaksanaan skim subsidi bahan api BUDI Diesel dan BUDI RON95 dengan mengambil kira keadaan geografi, sosioekonomi serta keperluan sebenar rakyat Sabah yang berbeza daripada negeri-negeri lain.
Himpunan yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos 2026 dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang di Kota Kinabalu itu bertujuan menyatukan suara rakyat Sabah bagi menuntut penambahbaikan dasar subsidi bahan api yang menurut penganjur semakin memberi kesan kepada kos sara hidup penduduk di negeri ini.
Pengerusi Penganjur, Datuk Japiril Suhaimin, bersama Timbalan Pengerusi Penganjur, Jovilis Majami, berkata himpunan tersebut bukan bertujuan membawa agenda politik kepartian, sebaliknya menjadi platform rakyat untuk menyampaikan pandangan secara aman, tertib dan bertanggungjawab mengenai pelaksanaan subsidi bahan api.
Menurut mereka, pelaksanaan BUDI Diesel dan BUDI RON95 perlu mengambil kira hakikat bahawa Sabah mempunyai keluasan negeri yang besar, jaringan jalan raya yang panjang, kos logistik yang tinggi serta sistem pengangkutan awam yang masih terhad, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Bagi sebahagian besar rakyat Sabah, kenderaan persendirian bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan asas untuk bekerja, menghantar anak ke sekolah, mendapatkan rawatan kesihatan dan menjalankan aktiviti ekonomi harian,” kata mereka dalam satu kenyataan media.
Mereka berkata pendekatan dasar yang menggunakan mekanisme sama bagi semua negeri tidak semestinya sesuai kerana keadaan geografi dan demografi Sabah jauh berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.
Penganjur turut menjelaskan bahawa isu berhubung pelaksanaan subsidi bahan api bukan lagi sekadar perbincangan dalam kalangan masyarakat, malah telah dibangkitkan secara rasmi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri daripada pelbagai kawasan.
Antara yang membangkitkan perkara tersebut ialah Datuk Masiung Banah (Kuamut) yang mencadangkan supaya kuota subsidi diesel dikaji semula agar mengambil kira keluasan Sabah, jarak perjalanan serta kos logistik yang tinggi.
Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan) pula menekankan keperluan menyesuaikan mekanisme BUDI Diesel dengan keadaan sebenar masyarakat luar bandar yang bergantung kepada pengangkutan persendirian bagi meneruskan kehidupan seharian.
Sementara itu, Isnaraissah Munirah Majilis (Usukan) turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu ketirisan subsidi akibat penyeludupan bahan api serta menggesa supaya pelaksanaan dasar subsidi mengambil kira realiti Sabah.
Menurut penganjur, kebimbangan yang sama turut disuarakan oleh beberapa Ahli Parlimen Sabah termasuk Riduan Rubin (Tenom), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud) dan Datuk Hajah Siti Aminah Aching (Beaufort), sekali gus menunjukkan bahawa isu subsidi bahan api memberi kesan kepada rakyat di seluruh negeri tanpa mengira kawasan atau latar belakang politik.
Selain wakil rakyat, beberapa anggota Kabinet Kerajaan Negeri Sabah juga telah menyatakan pendirian berhubung pelaksanaan dasar tersebut.
Antaranya ialah Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak bersetuju dengan pelaksanaan BUDI Diesel dalam bentuk sedia ada, termasuk kuota sebanyak 200 liter sebulan kerana dianggap tidak selaras dengan keperluan sebenar rakyat Sabah.
Turut membangkitkan isu itu ialah Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, yang menyuarakan kebimbangan mengenai kesannya terhadap sektor pertanian, perikanan dan aktiviti ekonomi luar bandar yang banyak bergantung kepada penggunaan bahan api.
Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan, turut menyifatkan pelaksanaan BUDI MADANI sebagai memberi kesan besar kepada sebahagian rakyat sehingga mengibaratkannya sebagai “BUDI Mamatai Ti”, satu ungkapan dalam bahasa Dusun yang membawa maksud “mematikan”.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Penganjur mengemukakan beberapa tuntutan utama kepada Kerajaan Persekutuan, termasuk supaya pelaksanaan BUDI Diesel dan BUDI RON95 dinilai semula berdasarkan realiti Sabah.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah meningkatkan kuota subsidi BUDI Diesel daripada 200 liter kepada 500 liter sebulan, menetapkan kuota 500 liter bagi penerima BUDI RON95 di Sabah, mengasingkan pelaksanaan kedua-dua skim tersebut, serta memansuhkan syarat pemilikan kenderaan bagi permohonan BUDI Diesel dengan menggunakan syarat asas yang sama seperti BUDI RON95.
Penganjur turut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi mengkaji pelaksanaan subsidi bahan api secara lebih menyeluruh, selain memberi autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk menentukan mekanisme pelaksanaan subsidi yang lebih sesuai dengan keadaan negeri.
Mereka juga menggesa agar setiap perubahan dasar pada masa hadapan dibincangkan terlebih dahulu bersama Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat supaya sebarang keputusan dibuat secara lebih inklusif.
Datuk Japiril dan Jovilis berkata himpunan tersebut terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik, bangsa, agama atau pekerjaan kerana isu subsidi bahan api merupakan isu yang menyentuh kehidupan harian rakyat secara langsung.
“Himpunan ini bukan milik mana-mana parti politik. Ia adalah pentas rakyat Sabah untuk menyuarakan pandangan secara aman, tertib dan bertanggungjawab demi memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira kepentingan serta realiti negeri ini,” katanya.
Mereka turut mengajak Ahli Parlimen, ADUN, pemimpin politik, pertubuhan masyarakat, golongan belia, mahasiswa, petani, nelayan, peniaga serta seluruh rakyat Sabah hadir menyatakan solidariti dalam himpunan berkenaan.
Menurut mereka, Sabah sebagai rakan dalam Persekutuan Malaysia berhak diberikan pertimbangan yang adil berdasarkan keadaan sebenar negeri, sambil menegaskan bahawa rakyat Sabah bukan menuntut layanan istimewa, sebaliknya mengharapkan dasar yang lebih saksama dan selaras dengan keperluan masyarakat tempatan.



