ADVERTISEMENTspot_img

Sabah teruskan misi buru 40 emas di SUKMA Selangor 2026

Nizam (tengah) bersama Jawatankuasa induk SUKMA Sabah menunjukkan isyarat 40 sebagai sasaran Sabah pada SUKMA Ke-22 Selangor 2026, bulan depan.

Oleh: Vitalis G. Bingkasan

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berharap sasaran 40 pingat emas yang diilhamkan abangnya, Datuk Tawfiq   dapat direalisasikan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026.

Kali pertama sasaran tertinggi Sabah dalam sejarah sukan dwi-tahunan terbesar negara itu ditetapkan Tawdiq selaku Menteri Belia dan Sukan Sabah  pada 2016 semasa SUKMA Sarawak.

Sejak itu, ia adalah misi yang belum kesampaian dan kali ini Sabah akan memburunya lagi dengan kekuatan kontinjen yang dianggotai 943 atlet dan pegawai.

Seramai 744 atlet yang terdiri dari 385 lelaki dan 359 wanita akan menjadi sandaran Sabah merealisasikan impiannya itu.

Mengiringi atlet ialah 51 pengurus pasukan dan 148 jurulatih manakala Chef de Mission ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datu Mansur Asun.

SUKMA 2026 yang  akan berlangsung pada 15-24 Ogos mempertandingkan  30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.

Sukan wajib terdiri daripada akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, bola jaring, bola keranjang, bolasepak, bola tampar, boling padang, gimnastik, golf, hoki, judo, Karate, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga, pelayaran, pencak silat, ping pong, ragbi, sepak takraw, skuasy, sofbol, taekwondo, tenis, tenpin boling, tinju dan wushu.

Sukan pilihan pula terdiri daripada catur, E-Sports, kriket, petanque, silambam, Muay Thai dan kabaddi.

“Sabah akan menyertai semua sukan itu kecuali kabaddi dari sukan pilihan,” kata Nizam dalam sidang  media di Bilik Mesyuarat Utama KBSK hari ini.

Nizam berkata, sebagai dorongan memburu sasaran, insentif kemenangan juga dikekalkan iaitu RM10,000 untuk pingat emas, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000.

Menurutnya,  Sabah telah membuat persiapan terbaik yang termampu termasuk menghantar atlet menyertai pertandingan di dalam dan luar negara.

Katanya, senarai panjang atlet telah dikenalpasti selepas Sukan Sabah (SAGA) Oktober tahun lalu sebelum disenarai pendek bulan ini.

“ Selaku Ketua Deligasi Kontinjen Negeri Sabah ke SUKMA kali ini, saya meminta semua pegawai dan atlet untuk menunjukkan disiplin dan semangat patriotik yang tertinggi dalam menjaga nama baik Negeri Di Bawah Bayu yang kita cintai ini.

“Untuk semua pegawai dan atlet Sabah, bertarunglah secara jujur, adil dan sepenuh tenaga. Dengan usaha gigih dan keazaman yang tinggi, tidak ada yang mustahil untuk kita membawa pulang kejayaan,” kata Nizam.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Sabah ialah semasa SUKMA Ke-19 Perak 2018 dengan 33 pingat emas, 27 perak dan 46 gangsa.

Turut bersama di sidang media itu ialah Jawatankuasa induk SUKMA Sabah iaitu Pembantu Menteri KBSK merangkap Timbalan Ketua Deligasi SUKMA Sabah Dato’ Sri Dr. Anil Sandhu, Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Syed Ahmad Syed Abas, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengurusan Sukan) KBSK Adanan Atin, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah merangkap Timbalan Ketua Kontinjen 1 SUKMA Mohd Asneh Mohd Noor, Timbalan Ketua Kontinjen 2 SUKMA Datuk Michelle Koh dan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Mohd Firdaus Kassim.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN