Datuk Dexter Lau
KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) terus mencatat perkembangan positif apabila memperkukuh kedudukannya sebagai antara syarikat pengedaran dan perdagangan terbesar di Malaysia Timur menerusi pelaksanaan pelbagai pelaburan strategik, pengembangan kapasiti operasi serta penerokaan pasaran baharu di peringkat serantau.
Syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu berkembang daripada sebuah perniagaan tempatan kepada kumpulan korporat yang mempunyai rangkaian operasi di Sabah, Sarawak, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Indonesia, selain sedang merancang memasuki pasaran Indochina sebagai fasa baharu pertumbuhannya.
Di bawah kepimpinan Pengarah Eksekutif, Datuk Dexter Lau, KTC kini merekodkan hasil tahunan melebihi RM1.2 bilion dengan tenaga kerja lebih 1,300 orang, sekali gus menggambarkan pertumbuhan konsisten yang dicapai sejak lebih dua dekad lalu.
Syarikat itu menyasarkan peningkatan hasil kepada sekurang-kurangnya RM1.3 bilion bagi tahun kewangan akan datang, sebelum mencapai sasaran RM2 bilion dalam tempoh beberapa tahun menerusi peluasan operasi, peningkatan kecekapan logistik serta pengukuhan rangkaian pengedaran.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan tersebut, KTC sedang membangunkan Taman Perindustrian KTC di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) melibatkan pelaburan RM150 juta, yang merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan keseluruhan bernilai RM180 juta.
Kemudahan seluas 15 ekar itu dijangka siap pada penghujung 2027 dan bakal meningkatkan kapasiti penyimpanan, logistik serta operasi pengedaran syarikat.
Di Sarawak pula, KTC mengorak langkah menerusi usaha sama bernilai RM30 juta dengan Sanjung Etika Sdn Bhd, anak syarikat Yayasan Sarawak, bagi menubuhkan Gardenia Bakeries (Sarawak) Sdn Bhd yang dijangka mewujudkan sekitar 500 peluang pekerjaan.
Melalui Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd, syarikat turut memegang lesen serta hak eksklusif pengeluaran dan pengedaran produk Gardenia di Sabah dan Sarawak.
Dalam usaha memperluaskan kehadiran antarabangsa, KTC turut menilai potensi pelaburan di rantau Indochina.
Berdasarkan sumber industri, syarikat dijangka memulakan langkah awal di rantau berkenaan seawal Oktober ini sama ada melalui pembukaan pejabat operasi atau kemudahan pembuatan, dengan anggaran pelaburan awal antara RM20 juta hingga RM30 juta.
Pelantikan Datuk Dexter Lau sebagai Pengerusi Persatuan Perniagaan Malaysia-Kemboja (MCBA) Malaysia Timur pada Mei lalu turut dilihat membuka lebih banyak peluang kerjasama perdagangan dan pelaburan antara syarikat dengan pasaran Indochina.
Dalam bidang kepimpinan korporat, Dexter pernah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk disenaraikan dalam Tatler Malaysia Top 300 dan Gen.T, selain diiktiraf sebagai antara tokoh korporat berpengaruh di Asia.
Beliau juga kini menerajui Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah sebagai Presiden bagi penggal 2025 hingga 2028, selain berkhidmat sebagai Ahli Majlis Kebangsaan MCCC Malaysia.
Selain memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan, KTC terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (csr) menerusi pelbagai inisiatif kebajikan termasuk bantuan pakaian seragam sekolah, serta penyaluran bantuan kepada rumah kebajikan, keluarga berpendapatan rendah dan mangsa bencana dengan kerjasama agensi kerajaan.
Pemerhati industri berpandangan perkembangan pesat KTC membuktikan syarikat berpangkalan di Sabah mampu berkembang sebagai pemain serantau yang berdaya saing, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia Timur serta mengukuhkan kedudukan negara dalam industri perdagangan dan pengedaran di rantau Asia Tenggara.



