Madius
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan jumlah peruntukan RM400 juta bagi pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang telah diluluskan dan disalurkan kepada projek-projek di Sabah.
Beliau berkata peruntukan di bawah Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2027 itu meningkat berbanding RM380 juta dalam Anggaran Dipinda 2026.
Menurutnya, persoalan utama ialah sejauh mana peruntukan berkenaan diterjemahkan kepada pelaksanaan projek perindustrian yang nyata, khususnya di Sabah.
“Daripada peruntukan RM400 juta di bawah Butiran 06000, berapakah jumlah yang telah diluluskan dan disalurkan kepada projek-projek di Sabah?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi MITI di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut meminta MITI menjelaskan peluang POIC Lahad Datu mendapatkan sokongan menerusi NIMP Industrial Development Fund (NIDF), khususnya bagi pembangunan infrastruktur bersama, teknologi pemprosesan, penyelidikan dan pengkomersialan.
Madius berkata pelaksanaan NIMP 2030 seharusnya turut menghasilkan manfaat yang boleh diukur kepada negeri-negeri, termasuk dari segi kemasukan pelaburan, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan mahir dan peningkatan nilai tambah ekonomi.
Katanya, pembangunan kluster perindustrian baharu dan sedia ada perlu diterjemahkan kepada projek serta aktiviti ekonomi yang memberikan kesan langsung kepada rakyat.
Beliau berharap Sabah mendapat peluang yang sewajarnya untuk memanfaatkan peruntukan dan kemudahan di bawah NIMP 2030 bagi memperkukuh sektor perindustrian negeri.



