LABUAN: UMNO Bahagian Labuan membantah sekeras-kerasnya pelantikan semula Amir Hussien sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan.
UMNO Labuan dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan kepimpinan UMNO berpandangan Amir Hussien tidak mempunyai prinsip dalam kerjaya politiknya, sering bertukar parti demi mengejar jawatan.
“Sekiranya benar desas desus beliau akan dilantik semula, Umno Labuan akan membantah sekeras-kerasnya”.
Menurut kenyataan itu, sebelum ini Amir adalah ahli Parti Amanah Negara (Amanah) Labuan dan dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan.
“Beliau juga tidak bersama rakyat Labuan dalam mengharungi penularan COVID 19 dan perkhidmatannya telah dibatalkan sejurus selepas berlakunya peralihan kerajaan”.
Ketika memeggang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan, beliau juga telah gagal untuk menjalinkan kerjasama yang baik bersama kepimpinan masyarakat tempatan, sebaliknya telah banyak menimbulkan masalah.
Justeru itu, Perhubungan UMNO Labuan berpendirian, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias adalah sewajarnya dilantik ke jawatan itu.