26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Tidak Ada Istilah Katak Sebelum Kerajaan Negeri Dibentuk: Terence Sinti

Terrence (depan tengah) menerima 80 borang keahlian masuk UPKO yang diketuai oleh Ketua Wanita PBS Kiulu Kg Malangang Baru, Sabinah Lingkin.

TUARAN: Tidak ada istilah katak sekiranya sesebuah parti bergabung dengan parti lain sebelum kerajaan dibentuk selepas sesuatu pilihan raya.

Mantan Naib Presiden dan bekas Ketua Pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Terence Sinti berkata, sebaliknya gelaran seumpama itu tepat untuk wakil-wakil rakyat yang melompat secara peribadi selepas pembentukan sesebuah kerajaan.

“Kita kena faham istilah ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Penggabungan dua buah atau beberapa parti kadangkala terpaksa diambil demi menyelesaikan sesebuah kerajaan yang tergantung kerana tidak ada parti yang mempunyai kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan.

“Dalam hal ini, keputusan diambil bukan secara individu, tetapi penggabungan itu sekurang-kurangnya perlu melalui mesyuarat Majlis Tertinggi parti sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Terence yang juga calon parti STAR pada Pilihan Raya Umum (PRU) 13 dan PRU-14 bagi Dewan Undangan Negeri N11 Kiulu berkata demikian semasa menerima borang kemasukan 80 ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) cawangan Malangang Baru ke Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, negeri Sabah pada PRU14 tidak dapat menentukan siapakah yang akan membentuk kerajaan negeri kerana tidak ada parti yang mendapat kerusi majoriti.

“Pada ketika itu BN meraih 29 kerusi, pembangkang sepatutnya 31 kerusi iaitu Warisan dan PH Sabah 29 kerusi, manakala STAR 2 kerusi.

“Daripada keputusan ini jelas menunjukkan bahawa rakyat mahukan perubahan pucuk kepimpinan dan menolak BN. Namun STAR yang pada ketika itu belum berpihak pada mana-mana parti menjadikan kerajaan negeri tergantung kerana BN dan pembangkang Warisan-PH mempunyai jumlah kerusi yang sama iaitu sebanyak 29 kerusi.

“Untuk makluman, agenda perjuangan kami di STAR adalah untuk mengalahkan BNUMNO dan mahukan parti tempatan yang memerintah di Sabah. Namun demikian semua kita tahu, bukan itu yang berlaku sebaliknya STAR bergabung dengan BN, dan itulah perkara yang saya tidak boleh terima hingga kini,” ujarnya yang sudah menjadi ahli berdaftar dengan parti UPKO.

Berhubung dengan keputusan UPKO untuk bekerjasama dengan Warisan-PH Sabah membentuk kerajaan Negeri pada PRU14, beliau menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang sangat berani dan menghormati mandat rakyat.

“60 peratus pengundi rakyat Sabah pada ketika itu telah memberikan mandat kepada pembangkang untuk mengalahkan BN. Begitu juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah menyokong PH untuk menumbangkan BN.

“Sebelum menyertai UPKO, saya telah membuat analisis untuk mengetahui apa yang telah berlaku pada ketika itu. Hasilnya saya mendapati keputusan UPKO bukan dibuat secara membuta-tuli atau secara individu, tetapi melalui satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi bagi mendapat keputusan muktamad dari pucuk kepimpinan parti.

“Saya masih ingat pada ketika itu apabila Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau membuat
sidang media mengumumkan keluar dari BN dan akan berkerjasama dengan Warisan bagi menyahut kepada aspirasi rakyat secara keseluruhannya. Dan ini sidang media itu dibuat sebelum pembentukan kerajaan negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Terence menegaskan wakil rakyat yang melompat selepas pembentukan kerajaan sebenarnya adalah katak kodok dan hanya bemotifkan keuntungan peribadi.

“Mereka bukan sahaja membelakangi parti tetapi tidak ikhlas dalam mempertahankan mandat rakyat dan tidak keterlaluan untuk dilabelkan sebagai pengkhianat parti dan rakyat demi keuntungan peribadi.

“Sejak saya berada dalam parti UPKO, saya sendiri melihat dan berkesempatan menyertai Datuk Seri Madius dan rakan-rakan lain turun padang menyelesaikan pelbagai permasalah rakyat. Dari menyelesaikan masalah air, jalan raya, penyaluran pelbagai bantuan rakyat yang dalam kesusahan, semua ini saya lihat dengan mata sendiri. Ya ini untuk rakyat.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru agar kita bersama-sama untuk terus memberi sokongan kepada mereka yang benar-benar ikhlas berjuang membela rakyat, bukannya mereka yang hanya pentingkan diri sendiri,” tegas Terence.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN