KENYATAAN….Haji Chemat (tengah) bersama mantan Timbalannya Nordin Ahmad (kanan) dan mantan Setiausaha Heidar Hussien Muhammad Rashid menunjuukan kenyataan media selepas mengisytiharkan untuk meninggalkan parti Amanah.
LABUAN: Seluruh kepimpinan parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan 15 Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti dan 33 ketua-ketua cawangan bersama ahlinya meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta bermula kelmarin.
Mantan Ketua Kawasan Parti Amanah Negara Kawasan Labuan Haji Chemat Haji Mustapha dalam satu kenyataan di sini menjelaskan seluruh kepimpinan parti termasuk sayap wanita (AWAN) dan kepimpinan Pemuda serta 33 Ketua-ketua Cawangan bersama ahlinya mengisytiharkan untuk meninggalkan parti kerana hilang kepercayaan kepada pemimpin parti Amanah Negara.
Pengumuman perletakan jawatan seluruh kepimpinan parti kawasan itu dilihat bukan sahaja melumpuhkan parti tetapi juga secara tidak langsung menyaksikan parti Amanah kawasan Labuan berkubur dengan sendirinya.
Menurut Haji Chemat antara lain mengapa mereka meninggalkan parti itu ialah kecewa dengan pengurusan parti dalam menyelesaikan pendaftaran penubuhan parti Amanah Kawasan Labuan yang terbatal pada tahun 2019.
“Kami kecewa dengan kelemahan pengurusan organasasi dan sikap kurang pemedulian pimpinan Nasional dalam menangani pelbagai isu termasuk sehingga hari ini sijil kelususan ROS untuk kesemua cawangan, Sayap AWAN Labuan masih belum diperolehi” katanya.
Mereka juga menzahirkan rasa kecewa dengan pendirian Amanah Nasional yang tidak konsisten dalam menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku calon PM Pakatan Harapan, keputusan yang sentiasa berubah-ubah dan mengelirukan.
“Kami juga selaku AJK Pimpinan Amanah Kawasan Labuan dinafikan hak selaku pelengkap kepada pentadbiran kerajaan ketika PH memerintah di Labuan. Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini diterajui oleh pimpinan Amanah lebih mengutamakan kroni mereka dan memberikan peranan kepada mereka yang diluar daripada pimpinan parti” jelasnya.
Atas justifakasi itulah katanya, pimpinan parti Amanah Kawasan Labuan bersama 33 Ketua Cawangan dan ahlinya menegaskan hilang kepercayaan kepada parti Amanah Negara.
Dalam kenyataan tujuh peranggan itu kesemua mereka telah mengisytiharkan pendirian untuk menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyidin Yassin selaku Perdana Menteri.