28 C
Kota Kinabalu
Ahad, Februari 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PPBM Pensiangan perlu diberi peluang tanding DUN Nabawan, Tulid

Abdul Ghani (kiri), Bobbey (kanan)

NABAWAN:Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu)Bahagian Pensiangan perlu diberi peluang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Nabawan dan DUN Tulid pada Pilihan Raya Negeri (PRN)berikutan Pembubaran DUN baru-baru ini.

Seorang aktivis politik di sini  berkata, bagi kawasan DUN Nabawan, penyandang Datuk Bobbey  Suan berpotensi dicalonkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)atas tiket Bersatu.

Bobbey memenangi kerusi DUN Nabawan atas tiket Barisan Nasional (BN – UPKO) pada PRU14 yang memperolehi 5,474 undi dengan majoriti 2,072 menewaskan calon Warisan Ahuar Rasam yang mendapat 3,402 undi, Apandy @ Lukan Angindi 165 undi dan Angin @ Nasruddin Lambahan 156 undi.

Katanya, berdasarkan rekod ini, Bobbey tiada masalah untuk mempertahankan kerusi DUN Nabawan atas tiket Bersatu pada PRN akan datang ini.

“Bobbey masih masih mendapat sokongan daripada bekas-bekas penyokong parti-parti Komponen BN yang menyokong beliau pada PRU14” kata aktivis politik itu.

Sementara itu bagi DUN Tulid yang merupakan DUN baru, aktivis itu menamakan Ketua Bahagian Bersatu Pensiangan Senator Datuk Abdul Ghani Datuk Haji Mohd Yassin sebagai calon PN atas tiket Bersatu.

Menurutnya, Ghani sudah dikenali di kawasan ini sejak dari awal lagi semasa mengetuai Umno Bahagian Pensiangan dari tahun 2003 sehingga 2018 dan kini menerajui kepimpinan Bersatu Pensiangan.

Justeru itu katanya, tiada masalah bagi Ghani untuk mendapatkan sokongan pengundi di kawasan ini kerana beliau telah berkhidmat kepada rakyat di kawasan selama lebih kurang 17 tahun.

“Semasa memegang jawatan Ketua Bahagian Umno dulu beliau (Ghani)terlibat sama dengan pemimpin Komponen BN merancang pembangunan di kawasan ini seperti projek naiktaraf jalan Sook – Sinua, bekalan elektrik, bekalan air besih, Sekolah Menengah Kebangsaan Trusmadi dan banyak lagi kemudahan asas dan infrastruktur yang kini dinikmati oleh penduduk di kawasan ini” jelasnya.

Pada Sabtu Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Bersatu Sabah telah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Katanya, Bersatu Sabah akan mengadakan mesyuarat minggu ini bagi memperhalusi persiapan jentera pilihan raya parti di setiap kawasan DUN Sabah.

“Kita sudah bersiap sedia dan telah mengenalpasti 45 kawasan DUN yang akan ditandingi oleh calon-calon Bersatu.

“Kita akan mengemukakan calon-calon  berwibawa, mempunyai credibility, capability dan “winnable” bagi memenangi kerusi yang akan ditandingi”, katanya.

Walau bagaimanapun katanya, Bersatu Sabah bersedia berbincang dengan parti-parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN), Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah, demi mengumpul kekuatan untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Hajiji berkata,  Bersatu Sabah juga akan menawarkan manifesto dan hala tuju terbaik untuk rakyat Sabah, yang antara lain memfokus kepada membangun semula ekonomi negeri setelah  krisis dan pandemik Covid-19.

Menurutnya, aspek lain yang akan menjadi keutamaan perjuangan Bersatu Sabah ialah terus memastikan hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah terus dipertahankan.

Katanya, aspek keselamatan, pendidikan, sosial ekonomi, kesejahteraan rakyat dan negeri Sabah, selain perpaduan kaum juga merupakan keutamaan perjungan parti itu.

“Kita akan pastikan rakyat Sabah yang menetap di negeri ini berasa selamat, tenteram, selesa, muhibbah dan sejahtera.

“Kita yakin, Bersatu akan menjadi alternatif terbaik dan diterima oleh sebilangan besar rakyat untuk menerajui negeri Sabah”, tegasnya.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah akan melancarkan Manifesto pilihanraya sebelum tarikh penamaan calon.

“Menerusi manifesto yang akan dilancarkan, kita akan menawarkan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah jika diberi peluang membentuk Kerajaan Negeri”, tambahnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN