ROZMAN (kanan sekali) bersama, Atiah (dua kanan), Muhammad Faizal, Nurshafiqah dan Timbalan Ketua WARISAN Labuan, Noor Halim Datuk Zaini (kiri sekali )
LABUAN: Pelantikan Ketua Wanita, Ketua Wira dan Ketua Wirawati yang sebelum ini kosong mampu memperkukuhkan lagi kedudukan parti itu di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ketua Parti WARISAN Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli berkata mereka yang dilantik untuk jawatan itu ialah Atiah Atar sebagai Ketua Wanita, Muhammad Faizal Abdullah sebagai Ketua Wira dan Nurshafiqah Zairina Zamzaini sebagai Ketua Wirawati Bahagian.
“Pelantikan ketiga-tiga mereka bukan sahaja melengkapkan organsasi parti itu tetapi juga akan menambah kekuatan parti WARISAN Labuan khususnya yang membabitkan penyertaan anak muda dan juga wanita ke dalam parti itu” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan parti itu di sini, pada Sabtu.
Rozman yang juga Ahli Parlimen Labuan yakin dengan pelantikan ketiga tiga pemimpin itu akan menyakinkan lagi takyat Labuan untuk memberikan sokongan kepada parti WARISAN Labuan.
Dalam waktu yang sama beliau mengesa semua ahli dan pemimpin perlu memainkan peranan dengan menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa WARISAN mempunyai jenama tersendiri berbanding dengan parti-parti lain yang bertapak di Labuan.
“Kita mesti mempunyai jenama yang berbeza kerana kita mahu berjuang untuk semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. Lebih penting lagi kita mahukan parti WARISAN adalah yang terbaik untuk mewakili Labuan sebagai sebuah pulau yang menuju ke era yang lebih membangun.
Rozman berkata selain akan membantu calon WARISAN dan gabungannya pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah, WARISAN Labuan juga perlu bersiap sedia untuk PRU-15 atau pilihan raya lebih awal.
“Keadaan politik di peringkat nasional yang tidak stabil sekarang ini memerlukan kita untuk bersiap sedia dan kita perlu menunjukkan kepada kerajaan Persekutuan bahawa WARISAN semakin kuat di Labuan dan ini secara automatik mengingatkan mereka bahawa Labuan tidak boleh dilupakan walau sedetik pun,” katanya.
Sebagai Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat Labuan, beliau akan terus bersuara untuk menyuarakan masalah kekurangan peruntukan dan dana daripada kerajaan Persekutuan. – JDj