Ewon dan Amru bergambar bersama sebahagian bekas AJK bahagian UPKO Ranau yang menyertai PCS
RANAU: Parti Cinta Sabah (PCS) yang bakal dijenamakan semula kepada Parti Kesedaran Rakyat Sabah (SEDAR) akan menggunakan logo parti PCS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Naib Presidennya, Datuk Dr.Ewon Ebin berkata, PCS yang dijangka akan bertanding di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam parlimen Ranau tidak dapat menggunakan logo parti SEDAR pada PRN kali ini kerana masih dalam proses kelulusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS).
SERAH BORANG… Badrulhisham Aliyu (kiri) dan Richard wen (kanan) mewakili generasi Muda dan pemuda PCS Ranau, menyerahkan borang keahlian kepada Amru dan Ewon pada majlis itu.
“Difahamkan logo parti SEDAR juga perlu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk proses kelulusan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.
“Justeru, pucuk pimpinan PCS diterajui Datuk Seri Anifah Aman telah mengambil keputusan untuk menggunakan logo PCS sedia ada untuk menghadapi PRN Sabah dalam masa terdekat ini,” katanya dalam satu majlis perjumpaan parti itu di sini kemarin
Pada majlis itu, Ewon turut menerima borang kemasukan ahli PCS daripada bekas ahli jawatankuasa (AJK) bahagian Ranau serta bekas pemimpin dan ahli UPKO di peringkat cawangan.
SERTAI PCS..Jamal Segunggut (kiri) dan Colesta Sigam (wanita) turut menyerahkan borang keahlian
Ewon ketika dihubungi Borneo Daily Bulletin hari ini memberitahu, Jawatankuasa Penaja PCS Ranau akan dibentuk dalam masa terdekat bagi membolehkan parti itu merangka pelbagai program terutama dalam usahanya mendekati rakyat seterusnya menjelaskan halatuju perjuangan parti.
Ditanya lanjut, Ewon yang juga Ketua Bahagian (Penaja) PCS Ranau turut membayangkan untuk bertanding di salah satu DUN di sini. Bagaimanapun beliau enggan mengulas kerusi mana yang bakal beliau tandingi.
“Kita tunggu sehingga SPR selasai mengadakan mesyuarat. Selepas itu barulah saya akan umum di mana saya akan bertanding,” jelasnya.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu, Ewon (BN-UPKO) tewas tipis kepada calon PKR, Jonathan Yasin dalam pertandingan empat penjuru.
Keputusan ketika itu, Ewon memperolehi 13,804 undi, Jonathan Yasin (PH – PKR)14,880 undi, Soudi @ Sami Andang (Sabah STAR) 3,148 undi , manakala Andau Yasun @ Bruno (PCS)1,110 undi.
Hadir sama pada majlis itu, Naib presiden II PCS Amru Abd. Kadir , Setiausaha penaja, Halimin Saping dan Azman Manaf .https://borneodailybulletin.com/