Awang Asri (dua dari kiri) bersama Dr Hapizi (tig dari kanan) ketika merasmikan simbolik penutupan kursus tersebut.
LABUAN: Masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah, tetapi perlu melihat masjid dalam kerangka yang lebih luas termasuk menjadikan masjid sebagai Institusi Komuniti.
Demikian kata Ketua INFRA Sabah, Institut Kemajuan Desa, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),Awang Asri Abdul Rahman ketika berucap merasmikan majlis penutupan Kursus Pemantapan Luar Bandar (Fokas Masjid) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini, pada Khamis.
“Kita perlu melihat masjid dalam kerangka yang lebih luas.Masjid sememangnya rumah Allah dan pusat ibadah. Namun dalam sejarah Islam, masjid juga menjadi wadah untuk menuntut ilmu, serta institusi yang mampu menjaga kebajikan masyarakat setempat, katanya.
Masjid juga katanya, memainkan peranan untuk mengukuhkan jaringan kerjasama antara masyarakat dengan agensi kerajaan.
Beliau berkata, dalam konteks pembangunan luar bandar hari ini, fungsi sesebuah masjid perlu dihidupkan kembali dalam bentuk yang sesuai dengan keperluan masyarakat semasa” , katanya.
Awang Asri turut menekankan keperluan masjid untuk memperkukuhkan sistem penyampaian dan sistem takbir urus yang berintegriti cekap dan berkesan serta memperkasakan komuniti sebagai agen pembangunan selaras dengan agenda Teras 8, Dasar Pembangunan Luar Bandar.
Kursus yang diadakan di Tiara Labuan Hotel itu disertai 40 peserta yang terdiri Pengerusi Masjid, Setiausaha Masjid dan beberapa AJK Masjid daripada tujuh buah masjid terpilih di Wilayah Persekutuan Labuan.
Kursus anjuran INFRA Sabah itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan, Dr Hapizi Sulaiman.



