ADVERTISEMENTspot_img

KMJG 2026 semarak patriotisme, perpaduan masyarakat Ranau

2FLAG OFF……..Datuk Jonathan melakukan pelepasan Konvoi KMJG yang diketuai Jainisah mendahului kenderaan lain.

Oleh: Salwah Aramat & Editor

RANAU: Sambutan Bulan Kebangsaan di daerah ini disemarakkan menerusi penganjuran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 Peringkat Daerah Ranau yang berlangsung di Kompleks Persekutuan, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah itu menghimpunkan ketua-ketua jabatan, dif jemputan, peserta konvoi serta masyarakat setempat dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme, memperkukuh perpaduan dan menyuburkan kecintaan terhadap negara.

Ketika berucap merasmikan program itu, Datuk Jonathan Yasin berkata masih terdapat segelintir masyarakat yang keliru mengenai tarikh penting berkaitan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, termasuk kedudukan Sabah dalam sejarah pembentukan negara.

Beliau berkata Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala Sabah memperoleh pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963 sebelum bersama Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia pada 16 September tahun yang sama.

“Justeru, masyarakat Sabah bukan sahaja perlu menghayati sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, malah perlu memahami dan menghargai Hari Malaysia pada 16 September sebagai tarikh penting yang memperingati pembentukan Malaysia.

“Perayaan ini bukan sekadar untuk kita meraikan kemerdekaan, tetapi juga untuk menjaga perpaduan dan keharmonian negara serta negeri. Kita mesti sentiasa mempertahankan perpaduan ini supaya keharmonian yang kita nikmati terus terjamin,” katanya.

Jonathan turut menegaskan kepelbagaian kaum dan agama merupakan antara kekuatan utama Malaysia yang perlu terus dipelihara dan dihargai oleh seluruh masyarakat.

Katanya, keharmonian yang terjalin antara masyarakat daripada pelbagai latar belakang perlu dipertahankan sebagai sebuah keluarga besar yang menjadi aset penting kepada kestabilan dan kemakmuran negara.

Beliau pada masa sama memuji inisiatif JaPen Sabah menganjurkan KMJG 2026 sebagai platform berkesan untuk menyampaikan mesej patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap Jalur Gemilang secara lebih dekat kepada masyarakat di daerah yang dilalui konvoi.

Program turut menyaksikan penyampaian Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah menerusi Kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG), sebelum diteruskan dengan upacara menandatangani Buku KMJG 2026 sebagai simbolik pelaksanaan program Kembara Merdeka di peringkat daerah.

Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan dan nyanyian lagu-lagu patriotik, selain para tetamu berpeluang mengunjungi gerai pameran yang disediakan sepanjang program.

Elemen Semarak Merdeka turut diketengahkan menerusi pemasangan Jalur Gemilang di sekitar Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Pejabat Daerah Ranau, sekali gus mewujudkan suasana sambutan Bulan Kebangsaan yang lebih meriah.

Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; dan Ketua Polis Daerah Ranau, Superintenden Mursalin Mahmud.

Penganjuran KMJG 2026 diharap terus menjadi wadah menyemarakkan semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta menyemai rasa bangga terhadap Jalur Gemilang, di samping meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai sejarah kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN