Sejarah tercipta…skuad petanque Sabah mencipta sejarah pencapaian terbaik SUKMA selepas menamatkan cabaran dengan empat emas dan satu perak di SUKMA XXII Selangor 2026.
OLEH: VITALIS G. BINGKASAN
PUCHONG: Skuad petanque membuat penamat cemerlang di SUKMA XXII Selangor 2026 selepas meraih tiga pingat emas dan satu perak pada hari terakhir acara itu di Arena Petanque, Kompleks Sukan Kuala Selangor, Jumaat.
Kejayaan itu menjadikan sumbangan keseluruhan mereka kepada empat emas dan satu perak, pencapaian yang bukan sahaja melepasi sasaran dua emas tetapi merupakan pencapaian terbaik skuad petanque Sabah dalam sejarah SUKMA.
“Ini hari bersejarah buat petanque Sabah,” kata pengurus pasukan, Azami Laman.
“Kami mengotakan sasasran dua emas menerusi acara beregu wanita dan regu tiga wanita…yang lain itu adalah bonus.
“Saya sangat gembira kerana kami turut menang di acara beregu lelaki dan regu tiga lelaki. Kedua-duanya adalah pingat bonus buat Sabah,” katanya.
Dalam acara beregu tiga lelaki, trio yang dianggotai Ainol Shahramadhan Abu Bakar, Muhamad Saidi Sajikil @ Anna’s dan Muhammad Fariz Ahmad Nor Abdullah menewaskan Pahang 13-1 pada perlawanan akhir.
Pasangan beregu campuran (Ryorie Ethan Augustine dan Maxivianna Robert) turut menyumbang emas selepas menewaskan Sarawak 11-5.
Final beregu tiga wanita pula mempertemukan dua pasukan Sabah dan ianya dimenangi 13-1 gandingan Leeyana Fitrialesya Kamrudin, Puteri Ara Aryanna Abdullah dan Thadis Henhera Venice ke atas gandingan Nurul Aina Ali Asmat, Siti Noor Ellyshatul Balqish dan Siti Nur Vivianah Chia.
Ia adalah emas kedua buat Leeyana di mana sebelum ini dia bergandingan dengan Nurul Aina memenangi pingat emas acara beregu pada Rabu.
Sementara itu, Sabah turut menambah dua perak dan satu gangsa menerusi tiga sukan lain yang berakhir lewat Khamis.
Dalam acara individu golf wanita, Jamie Yan Huan Ying meraih perak dengan jumlah pukulan 219 (69-74-76) selepas tiga hari pertarungan.
Pasukan e-sukan negeri yang diwakili Ashley Chow Kar Kit, Hasim Sia Jasri, Hazriel Farish Johari, Kris Wong Venky, Mohammad Khairul Lavania dan Muhammad Sahnizam Dramendra pula menamatkan saingan Mobile Legends Bang Bang di tempat kedua pada final yang berlarutan sehingga melepasi tengah malam.
Pingat gangsa disumbang pasukan gimnastik artistik lelaki menerusi Addison Chang Sui Xin, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter, Leevan Savahi Moosom, Lucas Immanuel Rijoh dan Marvell Vincent Voo dengan kutipan 259.300 mata.



