Hatrik emas…skuad takraw Sabah yang menang hatrik emas pada Jumaaat bersama Nizam dan Mansur.
Oleh: Vitalis G. Bingkasan
SUBANG JAYA: Skuad sepak takraw dan gimnastik artistik Sabah terus menyerlah pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila masing-masing menyumbang pingat emas, sekali gus membantu kontinjen negeri itu merealisasikan sasaran yang ditetapkan.
Skuad sepak takraw muncul penyumbang terbesar apabila meraih tiga lagi pingat emas pada saingan di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong, Jumaat, menjadikan keseluruhan kutipan mereka kini empat emas.
Tiga emas itu hadir menerusi acara regu dua pemain wanita, regu dua pemain lelaki dan regu empat pemain, selepas skuad wanita terlebih dahulu memenangi emas acara berpasukan pada Selasa lalu.
Dalam acara regu dua pemain wanita, gandingan Nazira Hani Iskandar, Nedveeasharny Samaan dan pemain simpanan Fieorylla Faradona menewaskan regu Perlis 15-7, 15-7.
Kejayaan itu kemudian disusuli kemenangan regu dua pemain lelaki yang dibarisi Wan Muhammad Zulhakim Wan Sablee, Wan Syahrul Ramadhan serta pemain simpanan Norikhman Duraman dan Hartrik.
Emas ketiga pula disumbangkan regu empat pemain wanita menerusi gandingan Fisydiana Faradona, Mersyella Dazzy Abalay, Nur Anis Alia Lair, Nur Syafikah Andi, Nurshazreyana Edy dan Rohaizan Roger Harun selepas menewaskan Perak 15-12, 15-11.
Skuad sepak takraw Sabah kini hanya memerlukan satu lagi emas bagi mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan sebelum temasya, dengan dua peluang masih tersedia menerusi acara regu lelaki dan wanita.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang menyaksikan saingan berkenaan, menyifatkan pencapaian skuad sepak takraw itu sebagai sesuatu yang membanggakan.
“Syabas kepada semua pengurusan dan pasukan sepak takraw Sabah kerana berjaya menyumbangkan seperti yang dijangka dari awal.
“Hari ini kita menang tiga emas dan kelmarin satu emas. Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, esok atau lusa kita dapat satu lagi pingat emas kerana kita memang mengharapkan sepak takraw menyumbang lima emas kepada kontinjen Sabah,” katanya.
Beliau berkata kejayaan itu wajar dijadikan contoh oleh persatuan sukan lain di Sabah, khususnya dari aspek perancangan dan persiapan menghadapi temasya berprestij seperti SUKMA.
“Bila kita bertanding, kita mesti bertanding dengan matlamat untuk menang. Diharapkan persatuan dan pasukan lain di Sabah dapat belajar daripada ini dan memperbaiki persiapan agar kita dapat keputusan lebih baik dua tahun lagi,” katanya.
Turut hadir menyaksikan saingan itu ialah Setiausaha Tetap KBSK merangkap Chef de Mission (CDM) kontinjen Sabah, Datuk Mansur Asun dan Timbalan CDM, Datuk Michelle Koh.

Marvell (tiga dari kanan) raih emas, perak dan gangsa untuk bantu skuad gimnastik artistik Sabah capai sasaran. Bersama di gambar ialah rakan sepasukannya yang menang gangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, gimnas artistik Sabah, Marvell Vincent Voo, turut mengotakan sasaran satu emas negeri itu selepas muncul juara acara Lantai Lelaki di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, Sabtu.
Atlet kebangsaan berusia 18 tahun dari Tamparuli itu mengumpul 13.050 mata untuk berkongsi kedudukan teratas dengan Nor Adam Haziq dari Kelantan, manakala Chew You Wei dari Pulau Pinang meraih gangsa dengan 12.475 mata.
Marvell kemudian menambah pingat perak dalam acara Kuda Pelana dengan 11.775 mata, di belakang Anson Tan dari Pulau Pinang yang meraih emas dengan 12.225 mata. Mann Chong Ming dari Selangor melengkapkan podium dengan gangsa menerusi 11.575 mata.
“Kami sangat gembira dapat memenangi emas dan mencapai sasaran di SUKMA ini. Hari terakhir pertandingan adalah esok (Ahad) dan masih ada peluang untuk menang lagi,” kata Ketua Jurulatih Gimnastik Artistik Sabah, Liew Tong Ee.
Pingat emas itu merupakan pingat kedua Marvell dalam acara individu dan ketiga keseluruhan pada temasya kali ini selepas turut membantu Sabah meraih gangsa dalam acara Berpasukan Lelaki pada Khamis.
Turut menganggotai pasukan berkenaan ialah Addison Chang Sui Xin, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter, Leevan Savahi Moosom dan Lucas Immanuel Rijoh.
Kejayaan dalam sepak takraw dan gimnastik artistik itu menyerlahkan prestasi atlet Sabah yang terus memberikan sumbangan penting dalam usaha kontinjen negeri mencapai sasaran keseluruhan pada SUKMA XXII Selangor 2026.



