Datuk Victor P. Paut, (tengah)
TAMBUNAN: Keyakinan terhadap kekukuhan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta komitmen kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) terhadap rakyat menjadi antara faktor lebih 500 bekas anggota beberapa parti pembangkang memilih untuk menyertai PGRS Bahagian Tambunan, hari ini.
Kumpulan berkenaan terdiri daripada bekas anggota Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang menyerahkan borang keahlian masing-masing dalam satu majlis di Kampung Tondulu, di sini, Sabtu.
Daripada jumlah itu, kira-kira 300 orang merupakan bekas anggota STAR daripada enam cawangan yang diketuai bekas Ketua Kempen parti itu, Patricia Yusuf, manakala kira-kira 120 lagi adalah bekas anggota Warisan yang diketuai Muhadi Amin, antara pejuang awal parti berkenaan di kawasan itu.
Selebihnya merupakan bekas anggota KDM.
Borang keahlian kumpulan berkenaan diserahkan kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor P. Paut, dalam majlis yang turut menghimpunkan anggota dan penyokong baharu parti berkenaan.
Patricia berkata keputusan meninggalkan parti masing-masing dibuat selepas mereka semakin hilang keyakinan terhadap hala tuju serta kepimpinan terdahulu, selain melihat prestasi Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, sebagai antara faktor yang mendorong mereka menyertai PGRS.
Katanya, rakyat memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab, prihatin dan sentiasa bersedia bersama masyarakat, khususnya ketika berdepan kesukaran serta memerlukan bantuan.
“Secara peribadi, saya melihat bagaimana komited dan prihatinnya kepimpinan Kerajaan Negeri serta PGRS Tambunan yang sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat, mendengar keluhan dan memahami keperluan mereka.
“Bagi saya, pemimpin perlu sanggup bersama masyarakat dalam susah dan senang. Apabila masyarakat memerlukan pemimpin untuk hadir bersama mereka, pemimpin itu perlu ada masa untuk mereka.
“Itu yang menarik perhatian saya serta rakan-rakan lain untuk menyertai parti ini,” katanya.
Mengulas penghijrahan lebih 300 bekas anggota STAR itu, Patricia berkata perkembangan berkenaan diyakini memberi kesan terhadap parti terbabit, selain mengukuhkan kedudukan PGRS di Tambunan.
Beliau turut menjangkakan lebih ramai anggota STAR dan parti lain akan mengikuti jejak berkenaan, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Sekiranya semua bersatu hati, saya yakin mungkin ada ‘goncangan’ berlaku dalam STAR selepas ini,” katanya sambil menyatakan komitmen untuk membantu memastikan GRS menguasai kawasan Parlimen Keningau.
Sementara itu, Muhadi berkata keputusan beliau dan rakan-rakannya menyertai PGRS dibuat kerana percaya kerajaan yang kukuh penting bagi memastikan agenda pembangunan Sabah serta kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, GRS mempunyai keupayaan memperjuangkan kepentingan rakyat kerana mempunyai kuasa pentadbiran untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan.
“Mereka (Warisan) tidak boleh buat apa-apa sama ada untuk memajukan Sabah ataupun membela rakyat kerana tidak ada kuasa.
“Kalau sekadar bercakap saja, tiada guna kerana apa pun perlukan kuasa,” katanya.
Beliau berkata pendekatan kepimpinan PGRS Tambunan yang konsisten turun padang dan mendekati masyarakat turut menjadi faktor yang menguatkan keyakinannya untuk menyertai parti berkenaan.
Menurutnya, rakyat kini mahukan pemimpin yang bukan sekadar berada di pejabat, sebaliknya turun ke kampung untuk melihat sendiri masalah dan keperluan masyarakat.
“Kita mahu pemimpin yang sentiasa turun padang, bukan sekadar duduk di pejabat tetapi tidak masuk kampung untuk meninjau keperluan rakyat.
“Mana-mana rakyat pun tidak mahu ada pemimpin seumpama itu,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Dewan Terbuka Angkangon Tondulu itu menyaksikan penyerahan borang keahlian membabitkan peserta dari 12 kampung atau cawangan, iaitu Kampung Kipaku, Mukim Kirokot, Nupakan, Dalab Lintuhun, Toboh, Bambangan, Lintuhun, Tombotuon, Rompon, Kalasasan Mogong dan Molout Sunsuron.



