27 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Ketua Wanita UMNO Sabah letak jawatan Ahli Lembaga Pengarah UMS

KOTA KINABALU: Seorang lagi pemimpin UMNO Sabah meletak jawatan dalam agensi berkaitan Kerajaan Persekutuan berikutan tindakan parti itu menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan media hari ini, Jainab berkata tindakannya itu bagi mengikut langkah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang meletak jawatan sebagai Menteri Pengajian Tinggi, minggu lalu.

Jainab berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS dibuat Noraini ketika beliau dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi pada tahun lalu.

“Terlebih dahulu saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad kerana melantik saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah UMS.

“Berikutan keputusan beliau meletak jawatan maka dengan ini saya juga membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UMS.

“Akhir kata, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih kepada Naib Canselor UMS dan seluruh pegawai serta kakitangan UMS kerana memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang perkhidmatan saya. Semoga negara kita akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT daripada virus COVID-19,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Tuaran turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UMS.

Bagaimanapun, Jainab berkata beliau menyokong pendirian UMNO Sabah menggunakan autonominya untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghormati keputusan rakyat negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) yang memilih GRS memerintah di Sabah.

Selain Jainab dan Abdul Rahman, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Abdul Aziz Julkarnain turut meletak jawatan sebagai pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Boustead Plantation. –BH Online

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN