25 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 24, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Kerajaan Ketuanan Malaya Cuba Ditubuhkan Di Sabah

KOTA KINABALU: Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick menyifatkan cubaan menubuhkan sebuah kerajaan baharu di Sabah oleh Tan Sri Musa Aman sebagai kerajaan Ketuanan Malaya.

Beliau berkata, kenyataan Musa kelmarin bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainudin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Nardin yang telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama jelas membuktikan bahawa cubaan tersebut didalangi dan ditubuhkan oleh politikus Malaya.

“Saya percaya rakyat Sabah mahu melihat Kerajaan Negeri ditubuhkan oleh orang Sabah sendiri. Tetapi dalam cubaan kali ini, orang dari Malaya pula yang mahu menubuhkan kerajaan negeri. Adakah rakyat Sabah tidak cukup muak dengan campur tangan orang Malaya yang memperkotak-katikkan politik dan kepimpinan di negeri Sabah?” kata beliau.

“Kalau benar mereka kuat, kenapa tidak tunggu sehingga pilihanraya sahaja? Apapun sebagai rakyat Sabah, kita turut mendesak agar Datuk Hamzah selaku Menteri Dalam Negeri turut memastikan daftar pemilih dapat dibersihkan sekiranya betul-betul mahu satu pilihanraya tulen daripada rakyat tulen Sabah.

“Begitu banyak desakan membersihkan daftar pemilih selepas kemenangan petisyen pilihanraya oleh Dr Chong Eng Leong di DUN Likas pada tahun 1999 yang mendapati wujudnya keraguan ke atas daftar pemilih. Sepatutnya ini yang dilaksanakan, bukan menubuhkan kerajaan ketuanan Malaya di Sabah,” tambah beliau.

Ewon menambah, pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri merupakan keputusan yang tepat bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan negeri yang bertuankan rakyat Sabah atau bertuankan Malaya.

“Kepada rakyat Sabah, marilah menggunakan pilihanraya negeri ini bagi memberikan mandat baharu kepada pimpinan negeri sedia ada dan menolak sama sekali gagasan yang bertuankan Malaya kerana kita boleh memerintah dan menguruskan halatuju negeri dengan sendiri dalam Persekutuan Malaysia ini. Tidak perlu bagi politikus Malaya memberi tunjuk ajar bagaimana kita menguruskan negeri kita ini,” katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN