Mohd Rafi (Dua dari kanan) secara simbolik menyerahkan bantuan peralatan gotong royong kepada Adnan (dua dari kiri) sambil disaksikan Gilbert.
LABUAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Wilayah Persekutuan Labuan menganjurkan Program Sahabat Komuniti Desa Sukarelawan Prihatin Kampung Sungai Buton, pada Sabtu.
Program yang diadakan di balai raya Kampung Sungai Buton itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.
Program tersebut antara lain bertujuan untuk menggalakkan semangat kesukarelawan serta memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.
Mohd Rafi ketika berucap pada majlis itu berkata, program tersebut mencerminkan usaha berterusan KEMAS dalam memperksakan masyarakat desa melalui pendekatan inklusif dan berorentsikan kesejahteraan sosial.
Pada majlis itu beliau turut menyerahkan sumbangan KEMAS Labuan berupa peralatan gotong royong kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Buton.
Selain itu Mohd Rafi turut menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 10 penduduk Kampung Sungai Buton yang kurang berkemampuan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat dan komuniti.
Hadir sama pada majlis itu, Pegawai KEMAS Labuan, Gilbert Julian Dan Ketua Kampung Sungai Buton, Adnan Ahad.



