Suspek (bertanda X) ditahan oleh polis dalam Op Tapis selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, dengan rampasan lebih 600 gram ganja dalam serbuan di Putatan, semalam.
PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah serta merampas lebih 600 gram ganja dalam satu operasi khas di bawah Op Tapis, semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton, berkata suspek berusia 25 tahun itu diberkas dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah kira-kira petang 21 April di Jalan Pantai Berahi, Putatan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan enam paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 641.82 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata nilai rampasan dianggarkan sekitar RM1,890.

RAMPAS..Dadah yang berjaya dirampas daripada suspek
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Sammy menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Usaha membanteras jenayah dadah akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah, khususnya pengedaran dadah, bagi membolehkan tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa.



