ADVERTISEMENTspot_img

Polis Tumpas Kegiatan Jual Air Ketum di Ranau, Lelaki Ditahan

Cecair ketum yang dirampas : Foto- BSJN IPD Ranau.

RANAU: Polis berjaya menumpaskan kegiatan penjualan air ketum di sebuah kampung di daerah ini apabila menahan seorang lelaki tempatan serta merampas sejumlah cecair disyaki air ketum dalam satu operasi, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin Mahmud, berkata suspek berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 17 botol mineral berkapasiti 1.5 liter yang mengandungi cecair dipercayai air ketum dan disimpan di dalam sebuah bekas simpanan ais berwarna jingga.

“Turut dirampas ialah sebuah tong gas berwarna kuning, dapur memasak serta periuk yang dipercayai digunakan untuk memproses dan memasak air ketum,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mursalin berkata polis akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan berkaitan ketum serta aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di daerah itu.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha membanteras jenayah dan penyalahgunaan bahan terlarang memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat setempat yang disaran menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan persekitaran yang selamat, aman dan sejahtera.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN