Pegawai Penguatkuasa ketika melakukan pemeriksaan keatas minuman dalam tin yang tiada tanda harga selepas menerima aduan.
LABUAN: Seorang peniaga runcit dikenakan kompaun oleh Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, selepas didapati gagal mempamer tanda harga jualan pada produk minuman dalam tin.
Tindakan itu diambil susulan aduan orang awam yang diterima menerusi portal e-Aduan KPDN.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain betkata, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenis dan jenama minuman yang ditawarkan untuk jualan tidak mempamerkan tanda harga seperti diwajibkan di bawah peraturan penandaan harga yang berkuat kuasa.
“Kegagalan tersebut merupakan ketidakpatuhan terhadap Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723”, katanya dalam satu kenyataan disini.
Menurut Junaidah, peniaga atau peruncit bertanggungjawab untuk memastikan tanda harga dipamer dengan jelas dan mudah dilihat bagi mengelakkan kekeliruan pengguna serta menjamin ketelusan urus niaga.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 manakala syarikat denda sehingga RM100,000.
KPDN Labuan menegaskan akan terus pergiat pemantauan dan menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.



