Anggota bomba ketika melakukan pemeriksaan bilik bilik sewa (sarang burung) disebuah premis di pusat bandar
LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan telah melaksanakan Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Sarang Burung (Bilik Sewa) bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran dipatuhi.
Operasi lebih 3 jam itu turut melibatkan agensi penguatkuasaan PDRM Jabatan Imigresen (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Labuan.
Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan, Abd. Rahman Ali berkata, menerusi pemeriksaan itu tiga premis didapati gagal mematuhi aspek keselamatan kebakaran yang berisiko kepada keselamatan penghuni, selain menyukarkan pihak anggota bomba melakukan kerja menyelamat sekiranya berlaku kebakaran.
“Kita dapati premis yang sepatutnya berfungsi sebagai pejabat telah diubah suai secara haram menjadi bilik-bilik sewa tanpa kelulusan, premis tidak mempunyai tangga keluar untuk penghuni menyelamatkan diri sekiranya berlaku kecemasan serta peralatan dan sistem keselamatan kebakaran berada dalam keadaan yang tidak baik.”katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Sarang Burung 2026 di sekitar bandar Labuan pada Khamis.
Beliau berkata, JBPM akan mengeluarkan notis Hapus Bahaya Kebakaran di bawah Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) kepada pemilik premis berkenaan.
Jelas Abd. Rahman, pelaksanaan operasi bersepadu ini bertujuan memastikan aspek keselamatan, pematuhan peraturan serta penggunaan premis dapat diteliti secara menyeluruh melalui kerjasama strategik antara agensi yang terlibat.
Dalam waktu yang sama beliau menjelaskan Operasi Sarang Burung bersepadu ini akan diteruskan dari masa ke masa bagi mengenal pasti premis yang diubah suai tidak melanggar peraturan keselamatan kebakaran.



