Aspalila menunjukkan kontena berisi minuman keras yang disita.
LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Labuan menyita tiga buah kontena berisi minuman keras dalam satu operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Merdeka, pada 17 April lalu.
Rampasan membabitkan tiga kontena bersaiz 20 kaki itu dianggarkan bernilai RM343,400, manakala jumlah duti dan cukai mencecah RM948,168.61, menjadikan keseluruhan nilai lebih RM1.29 juta.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag. Tuah berkata operasi berkenaan dilaksanakan oleh Pasukan Operasi Penguatkuasaan bersama Bahagian Perkastaman hasil maklumat risikan yang diperoleh.
Menurut beliau, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengimport minuman keras menggunakan tiga buah kontena dan membuat pengikraran melalui dua Borang Kastam No. 1.
“Siasatan awal mendapati minuman keras berkenaan diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen import sah bagi tempoh 30 Mac 2025 hingga 19 Mac 2026 dengan kuota import yang diluluskansebanyak 250,000 liter.
“Namun, siasatan lanjut mendapati syarikat berkenaan dipercayai mengimport melebihi kuota dibenarkan iaitu sebanyak 52,746.24 liter walaupun lesen masih berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan, Pangkalan Merin, Kiansam dekat sini, pada Selasa.
Beliau menjelaskan pengimportan minuman keras tertakluk kepada pemilikan lesen import mengikut kuota yang diluluskan serta setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras dengan Peraturan 42(1), Peraturan- Peraturan Kastam 2019 sambil menambahbkes disiasat di bawah Seksyen 138, Akta Kastam 1967.



