MEMBAKUT: Ketua Bahagian UPKO Kimanis, Rowindy Lawrence Odong, menyumbangkan 30 kerusi kepada Komuniti Kristian Dasar (KKD) St. John Mary Vianney, Membakut, bagi menyokong kegiatan dan perhimpunan komuniti itu.
Sumbangan peribadi itu disampaikan kepada Pengerusi KKD, Mary Juis, ketika Rowindy meluangkan masa bersama komuniti di kampungnya sendiri. Beliau turut menyampaikan sumbangan dana bagi membantu Majlis Makan Amal Gereja Paroki St. Patrick Membakut, khususnya untuk tabung seminarian dan dana pembinaan rumah kediaman paderi melalui KKD berkenaan.
Rowindy, yang juga anggota Lembaga Jawatankuasa Keselamatan Sosial Suri Rumah (JKSSR), berkata beliau berharap sumbangan itu dapat memberi manfaat kepada komuniti serta meringankan usaha gereja.
“Selagi ada rezeki lebih, saya ingin berkongsi sedikit sebanyak dengan komuniti. Walaupun tidak seberapa, saya berharap sumbangan ini dapat membawa kebaikan kepada semua,” katanya.
Beliau mengakui sumbangan itu hanya sebahagian kecil daripada usaha bersama yang masih diperlukan untuk gereja dan komuniti. Namun, beliau berharap bantuan tersebut dapat menyokong kegiatan KKD dan usaha pengumpulan dana gereja.
Rowindy turut mendoakan agar Tuhan memberkati semua pihak yang berusaha dan menyumbang, serta mempermudah segala urusan demi kebaikan bersama.



