Paul Ipoh Leokin
LABUAN: Dewan Perniagaan & Industri Kadazan Dusun Labuan (KCCI) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, khususnya peningkatan had pembelian barangan bebas cukai kepada RM10,000 bagi pelawat dan pelancong di Labuan, tertakluk kepada penginapan minimum 48 jam.
Pengerusinya, Paul Ipoh Leokin berkata, KCCI menyifatkan langkah itu sebagai peluang untuk merancakkan pelancongan, meningkatkan jualan perniagaan tempatan dan memperkukuh daya tarikan Labuan sebagai destinasi membeli-belah bebas cukai.
“Seiring pandangan komuniti perniagaan yang diketengahkan dalam laporan akhbar berhubung perkara tersebut, KCCI berpandangan keberkesanan insentif itu perlu disokong oleh pilihan produk yang lebih menarik, kemudahan komersial yang berkualiti serta perkhidmatan pengangkutan yang sesuai.
“Peningkatan had pembelian bebas cukai merupakan langkah yang dialu-alukan. Pelaksanaannya perlu disertai usaha menarik pelawat untuk menginap lebih lama dan berbelanja, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengusaha tempatan”,katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, dewan memohon Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia memberikan penerangan mengenai tarikh kuat kuasa, kategori barangan, kelayakan pelawat serta kaedah pengesahan tempoh penginapan.
Katanya, penjelasan yang seragam akan membolehkan peniaga membuat persediaan dan membantu pelawat memahami kemudahan yang ditawarkan.
Usaha menarik jenama serta pelaburan baharu juga perlu dilaksanakan seiring dengan sokongan kepada peruncit, perusahaan kecil dan pengusaha tempatan.
Aset serta premis yang berpotensi wajar dinilai untuk pembangunan komersial melalui proses yang telus dan berdaya maju.
Dalam, pada itu katanya, KCCI turut mencadangkan pembangunan pakej pelancongan bersepadu yang menggabungkan penginapan, membeli-belah, makanan, kebudayaan, warisan dan aktiviti laut.
Penyertaan usahawan Kadazan Dusun serta komuniti tempatan lain perlu diberi ruang supaya manfaat pertumbuhan dapat dinikmati secara meluas.
Berhubung pengumuman peluasan pengecualian duti import bagi produk buatan tempatan yang menyebut Langkawi, KCCI memohon penjelasan sama ada kemudahan berkaitan turut meliputi produk buatan Labuan.
“Sekiranya belum diperluas kepada Labuan, kami memohon agar pertimbangan sewajarnya diberikan bagi menyokong pengeluaran tempatan dan meningkatkan daya saing usahawan di wilayah ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penerbangan, feri, kemudahan jeti serta bekalan air, elektrik dan internet perlu diperkukuh bagi menyokong pertambahan aktiviti ekonomi. Perkembangan penilaian cadangan hubungan tetap Labuan–Sabah, termasuk jambatan, turut dimohon dengan mengambil kira kebolehlaksanaan, kemampuan kewangan dan manfaat kepada penduduk.
Penglibatan Labuan IBFC dalam kerangka pembiayaan rentas sempadan turut disambut baik sambil berharap perkembangan tersebut dapat membuka peluang pekerjaan, latihan dan kontrak perkhidmatan kepada syarikat serta tenaga kerja tempatan melalui sesi penerangan dan padanan perniagaan bagi memastikan tindakan susulan yang berkesan.
Paul berkata Perbadanan Labuan perlu juga menyelaras kerjasama antara agensi berkaitan dengan dewandewan perniagaan, berserta jadual pelaksanaan dan ukuran pencapaian yang jelas.
Paul juga berharap pengumuman Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan kepada peningkatan jualan, peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik untuk masyarakat Labuan.



