ADVERTISEMENTspot_img

MOSTI memupuk minat generasi muda terhadap bidang STEM

Abdullah (dua kanan) menerima cenderamata daripada Profesor Dr. Shamsul Bahari diperhatikan Haji Zawawi (dua kiri), Ts. Harun dan Haslizah.

LABUAN: Penganjuran Malaysia Techlympics pada tahun ini merupakan tahun yang ke-5, bertujuan untuk memupuk minat generasi muda terhadap bidang STI / STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna dan berimpak tinggi melalui konsep pertandingan.

Setiausaha Bahagian Pembudayaan Dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi, Abdullah Daud berkata melalui program ini, pelbagai pertandingan yang berteraskan sains dan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), teknologi dron, pengekodan dan robotik akan dipertandingkan di peringkat sekolah, zon dan kebangsaan.

Katanya, Malaysia Techlympics telah dijalankan sejak tahun 2022, bagi tahun 2026 Malaysia Techlympics mencatat pencapaian penyertaan yang luar biasa yang mana sehingga kini lebih daripada tiga juta penyertaan direkodkan.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak terlibat, satu pencapaian yang amat membanggakan, termasuk penyertaan aktif daripada peserta-peserta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Jumlah penyertaan daripada Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini adalah seramai 10,308 peserta,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mini Jangkauan Keterangkuman (Outreach) Malaysia Techlympics 2026 Wilayah Persekutuan Labuan di Dewan Theatrette, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada Selasa.

Turut hadir Ketua Pustakawan, Universiti Malaysia Sabah, Haji Zawawi Datuk Tiyunin, Pengarah UMSKAL, Profesor Dr. Shamsul Bahari Shamsudin, Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Sabah, Ts. Harun Ahmad dan Ketua Unit Perpustakaan Awam, Haslizah Hassan.

Hadir sama Pengarah U-Science Jabatan Perpustakaan UMS, Md Sazali Md Salleh, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Dekan Fakulti Komputeran Dan Informatik (FKI), Prof Madya Dr Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 117 peserta terdiri daripada 38 kumpulan daripada lapan sekolah (tiga sekolah rendah dan lima sekolah menengah) telah layak ke pertandingan akhir yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang pada 15 hingga 16 November 2026.

Katanya, antara elemen pengisian program adalah melibatkan latihan kepada guru-guru yang terlibat dan penyertaan peserta sekolah luar bandar melalui Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach).

Bagi tahun 2026, Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach) Malaysia Techlympics pada kali ini, di UMSKAL merupakan siri jelajah di bawah Malaysia Techlympics yang bermula pada bulan Jun 2026, yang mana sebanyak 80 program Outreach keseluruhan disasarkan bagi tahun 2026.

Tambah beliau, program jangkauan keterangkuman (Outreach) antara lain adalah bertujuan untuk memupuk minat generasi muda terutamanya penduduk luar bandar terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan.

Pada masa sama, mendorong kolaborasi dengan memberi galakan kepada pelajar dan komuniti untuk bekerjasama dalam projek-projek STEM;

Selain itu, meningkatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) STEM khususnya kepada pelajar luar bandar.

“Memperkukuh kerjasama dengan komuniti setempat; dan memberi pendedahan kepada komuniti setempat berkaitan teknologi yang boleh dijadikan asas dalam kerjaya masa hadapan,”katanya

Pertandingan dan aktviti yang dilaksanakan di bawah Malaysia Techlympics adalah berlandaskan kepada bidang keutamaan semasa MOSTI antaranya merangkumi bidang sains, kejuruteraan, matematik, kecerdasan buatan (AI), advokasi nuklear, Internet Kebendaan (IOT), robotik, teknologi dron, reka bentuk kreatif & animasi serta pencetakan & pembangunan 3D.

Beliau menyeru pelajar, belia, guru dan ibu bapa, agar dapat terus menyokong usaha MOSTI dalam mengarusperdanakan Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai pemangkin ekonomi dan kesejahteraan rakyat, melalui penganjuran Malaysia Techlympics 2026.

Abdullah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas kerjasama dan sokongan padu yang telah diberikan dalam menjayakan inisiatif Malaysia Techlympics 2026.

“Sekalung penghargaan kepada UMSKAL atas kesudian selaku tuan rumah bagi penganjuran Program Keterangkuman (Outreach) Malaysia Techlympics 2026,”katanya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN