ADVERTISEMENTspot_img

Matra FC B Juara Kejohanan 10 Penjuru, Aksi Sengit Meriahkan Padang Patod

JOHAN……..Pasukan Matra FC B berjersi hitam muncul juara selepas aksi cemerlang, manakala pasukan berjersi merah, Matra FC A, turut mempamerkan semangat juang tinggi dalam perlawanan yang penuh saingan.

Oleh: Salwah Aramat

RANAU: Kejohanan Bola Sepak 10 Penjuru anjuran Matra Football Club berlangsung meriah dengan penyertaan menggalakkan pasukan tempatan di Padang Patod, Kampung Matan, di sini, baru-baru ini.

Seawal jam 8 pagi, padang pertandingan mula dipenuhi pemain serta penyokong yang hadir memberikan sokongan, sekali gus mewujudkan suasana kompetitif dan penuh semangat kesukanan sepanjang kejohanan berformat sembilan sebelah itu.

Penganjuran kejohanan tersebut bertujuan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain tempatan selain mengeratkan hubungan silaturahim komuniti menerusi sukan bola sepak.

Menurut penganjur, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan penyertaan 10 pasukan dari sekitar daerah Ranau dan kawasan berhampiran yang bersaing secara sihat.

Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah Matra FC A, Matra FC B, RS Team, Bindrow, ESR FT, Kiau Kesatria FC, Ranau Frenz FC, Jaff FT, Munaseli FC serta R&J Enterprise.

SYABAS………RS Team Naib Juara pertandingan bola sepak di padang Patod Kampung Matan Ranau.

Pertandingan dijalankan menggunakan sistem liga kumpulan, memberi peluang kepada setiap pasukan beraksi dalam beberapa perlawanan sebelum mara ke peringkat seterusnya.

Kemuncak kejohanan menyaksikan Matra FC B muncul juara selepas mempamerkan aksi konsisten dan cemerlang sepanjang saingan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000.

RS Team pula menamatkan saingan sebagai naib juara dengan membawa pulang RM700, manakala Jaff FT dan Bindrow berkongsi tempat ketiga bersama, masing-masing menerima RM450.

Secara keseluruhannya, kejohanan ini dilihat berjaya mencapai objektif penganjur dalam memperkasakan aktiviti sukan komuniti serta menyemai semangat kesukanan dalam kalangan belia setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN